Wednesday, September 22, 2010

Alu/Antan Lesung Jadi Senjata

Didakwa rompak guna alu lesung

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kebiasaannya alu lesung digunakan untuk membantu suri rumah dalam menyediakan juadah di dapur tetapi bagi seorang bekas pengurus stor lain pula kegunaannya.

Tertuduh, Daniel Adam Mohamad Ghani, 33, didakwa menggunakan alu lesung dan pemutar skru untuk merompak bekas rakan sekerjanya yang juga pengurus sebuah kafe, Ratih Purnasih Saprudin, 22.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi, 5 September lalu di kafe tersebut di Plaza Low Yatt, Dang Wangi di sini, mangsa didakwa mengalami kerugian RM7,400 dan cedera di bahagian kepala.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 394 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun hari ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Kamar Jamaludin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak, hakim menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pada ketika ini, adik perempuan tertuduh yang berada di galeri awam tiba-tiba bangun dan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

"Saya mohon jumlah tersebut dikurangkan Yang Arif. Saya datang ke sini naik bas dan hanya ada RM3,000. Saya bekerja sebagai penjawat awam dan turut menanggung dua anak abang saya selepas dia bercerai dan ibu saya yang menghidap penyakit kanser," rayu gadis tersebut.

Hakim tersebut kemudian menjelaskan kepada adik tertuduh bahawa jumlah jaminan yang ditetapkan adalah wajar memandangkan pertuduhan ke atas Daniel Adam adalah serius.

No comments:

Post a Comment