Friday, December 30, 2011

bisikan suruh terjun tasik

Ibu memang terjun tasik
Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Nur Arina Mohd Ramlan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Impian empat anak untuk menemui ibu mereka yang hilang selepas keluar dari rumah di Kelana Jaya, dekat sini, seminggu lalu berkecai apabila hanya jasad wanita itu yang ditemui.

Lebih malang lagi, baru sehari berita kehilangannya dilaporkan semalam, keluarga itu menerima panggilan ‘sayu’ daripada pihak polis yang meminta pengecaman mayat mangsa dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Mohamad Khalid Johari, 28, berkata, dia mengambil keputusan melaporkan kehilangan ibu, Wan Jaliah Wan Harun, 56, dalam akhbar selepas ibunya hilang 22 Disember lalu dan gagal ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat.

“Saya mengharapkan ada pihak akan hubungi sekiranya terjumpa ibu di mana-mana, tapi lain pula yang jadi apabila polis yang mohon kami datang membuat pengecaman mayat.


“Memang tersangat sedih dan tak boleh digambarkan perasaan ini. Polis daripada Balai Polis HS Lee memberitahu mayat ibu ditemui di Taman Tasik Perdana pada 22 Disember iaitu hari kehilangannya, sekitar jam 8 pagi, namun mereka sukar mencari waris ibu.


“Ini kerana tiada pengenalan diri bersamanya, cuma sekeping resit pembelian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Kelana Jaya yang menjadi petunjuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Apapun katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana akhirnya menemui ibu walaupun dia sudah kembali menyahut seruan Illahi. “Kami redha dengan pemergiannya walaupun dengan cara yang menyedihkan,” katanya.


Mohamad Khalid berkata, arwah menghidap penyakit gangguan mental sejak dua tahun lalu dan kini masih meneruskan rawatan di Hospital Serdang.

Katanya, kebiasaannya mereka adik-beradik akan bergilir-gilir menghantar ibu untuk rawatan di hospital, malah sepatutnya Wan Jaliah mempunyai temu janji pada 23 Disember, jam 9.30 pagi.


“Kami sekeluarga terima seadanya. Cuma selepas ini saya akan sentiasa ingat pesannya supaya sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan jangan tinggalkan solat,” katanya.


Jenazah Wan Jaliah akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Cheras selepas di mandikan dan dikafankan di HKL.


Harian Metro dalam laporan semalam memetik Mohamad Khalid sebagai berkata ibunya pernah memberitahu ada suara menyuruhnya terjun ke dalam tasik.

No comments:

Post a Comment