Wednesday, December 7, 2011

maut kena sondol

Maut disondol babi hutan
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 6, 2011

KUALA LIPIS - Seorang penoreh getah maut apabila disondol seekor babi hutan seberat kira-kira 90 kilogram semasa sedang menoreh di ladang getah Jerkoh, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa, Wahab Saad, 59, dipercayai bergelut dengan babi hutan itu yang menyerangnya dari arah belakang dan sempat menjerit meminta tolong sebelum terjatuh ke dalam anak sungai.

Menurutnya, jeritan mangsa kemudiannya didengari isterinya, Napsiah Aman, 50, yang ketika itu sedang memasak di pondok berhampiran.

“Mendengar jeritan suaminya, Napsiah berlari untuk membantu mangsa namun babi hutan itu bertindak menyerangnya pula. Napsiah kemudiannya cuba mempertahankan diri dengan menggunakan parang menyebabkan haiwan terbabit meninggalkan kebun tersebut setelah mengalami kecederaan.

“Napsiah yang mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat se­rang­an itu berlari ke jalan utama untuk meminta bantuan,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, isteri mangsa kemudiannya mendapat bantuan daripada dua penduduk yang kebetulan melalui kawasan di situ.

“Mangsa ditarik keluar dari anak sungai oleh penduduk berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

“Penduduk terbabit kemudiannya menghubungi pemilik kebun dan polis untuk membawa keluar mayat mangsa dari kebun berkenaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan oleh lemas.

Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Benta.

Serang seorang lagi penoreh

Abdul Razak berkata, babi yang menyerang pasangan suami isteri itu turut bertindak menyerang seorang lagi pekebun di kebun bersebelahan dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

“Setelah cedera terkena parang, haiwan terbabit berlari ke kebun bersebelahan dan menyerang seorang lagi penoreh getah, Chong Chung, 68.

“Chung kemudiannya bertindak mempertahankan diri dan berjaya membunuh haiwan berkenaan. Dia yang mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan,” katanya.

Sehubungan kejadian itu, Abdul Razak menasihatkan pekebun supaya lebih berhati-hati.

“Kita mungkin jarang men­dengar serangan daripada haiwan liar seperti babi hutan, namun kita perlu lebih berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

“Pekebun atau penoreh getah dinasihatkan supaya tidak pergi ke kebun secara berseorangan dan mereka perlu membawa senjata seperti parang untuk mempertahankan diri,” katanya.

Kes pertama

Sementara itu, kenalan kepada Allahyarham Wahab, Shaharudin Othman, 48, berkata, serangan haiwan liar itu adalah kali pertama ber­laku dan menimbulkan ketakutan kepada pekebun lain.
“Mungkin haiwan berkenaan merasa terancam dan bertindak menyerang mangsa.

“Kejadian ini memberi kesan kepada penduduk yang takut untuk ke kebun kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment