Friday, December 9, 2011

wanita besi

Wanita besi di LCCT


Tugas memunggah beg dilakukan dengan berhati-hati.


MELIHAT cara mereka bekerja dengan persekitaran yang panas, bingit dengan enjin pesawat dan sentiasa terkejar-kejar, cukup untuk membuktikan tugas yang dilakukan bukanlah mudah apatah lagi bagi kudrat wanita.
Apa yang tidak mereka lakukan? Dari memunggah naik dan menurunkan bagasi, menarik tangga ke pesawat dan sebagainya semuanya mereka lakukan.
Kerja-kerja tersebut kalau dilihat di mana-mana lapangan terbang di dunia pun, hanya dikuasai oleh lelaki.
Tetapi bagi wanita muda yang berseragam merah terang ini, ia merupakan rutin harian mereka.
Mereka merupakan antara tenaga kerja penting di bahagian ramp di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) , Sepang.
Tugas mereka bermula sebaik pesawat mencecah landasan. Masing-masing akan segera mengambil kedudukan dan bersedia melaksanakan peranan yang telah ditetapkan, termasuk membantu juruterbang meletakkan pesawat bukan sahaja di tempat yang telah dikhaskan tetapi dalam keadaan betul.
Sekumpulan lagi pula bersedia dengan tangga yang akan ditolak ke arah pintu pesawat. Manakala yang lain sarat dengan peralatan bagi membersihkan bahagian dalam pesawat termasuk menukar dan mengisi bekalan air.
Lebih mencabar semua kerja-kerja itu perlu diselesaikan dalam tempoh 25 minit sebelum pesawat yang sama bersedia untuk berlepas semula.
Dalam tempoh yang singkat itu juga mereka dengan pantas akan memunggah turun bagasi ke troli dan memuat naik bagasi untuk ke destinasi seterusnya.
Semua beg penumpang perlu dipastikan dimuat ke dalam pesawat yang betul.
Dilihat daripada gaya mereka bekerja, mungkin ada yang terfikir tugas tersebut terlalu berat untuk kudrat seorang wanita.
Bagaimanapun mereka menyangkal tanggapan tersebut. Bahkan bagi mereka tiada istilah sesuai atau tidak. Yang penting tugasan yang diberi dilaksana dengan baik tidak kira oleh lelaki mahupun wanita.
Menurut Nurul Maizura Maizun, 21, tugas-tugas di bahagian ramp LCCT dibahagi kepada dua giliran. Setiap giliran mengambil masa 12 jam.
Mungkin atas sebab itu, katanya, rata-rata petugas wanita yang berkerja di bahagian tersebut memiliki bentuk fizikal yang tegap dan sihat.
"Di bahagian ramp ini kami ada 32 petugas wanita. Biasanya bagi giliran siang, kerja kami bermula seawal pukul 9 pagi.
"Begitupun, kami dikehendaki berada di lokasi 30 minit awal untuk taklimat sebelum meneruskan kerja-kerja harian.
"Kerja kami akan menjadi sibuk apabila ada kapal terbang mendarat," katanya.
Ini kerana menurut Nurul Maizura, petugas-petugas di bahagian ramp bertanggungjawab memunggah bagasi baik dari kapal terbang ke terminal ataupun dari terminal ke kapal terbang.
Bukan itu sahaja, mereka juga perlu memastikan segala-galanya dalam keadaan terkawal termasuk tangga untuk penumpang naik ataupun turun dari pesawat.
"Jika hendak bercakap mengenai bidang pekerjaan kami, ia sememangnya satu skop kerja yang begitu luas.
"Kamilah orang yang bertanggungjawab atas segala-galanya termasuk 'mengemudi' kapal terbang sebaik sahaja mendarat dan setelah ia diletakkan di tempat yang betul.
"Kerjaya ini mencabar. Tetapi ia menyeronokkan. Tidak semua orang boleh melakukan apa yang kami buat ini," ujarnya.
Memiliki diploma dalam bidang pengurusan marin, bagi Nurul Maizura, kerjayanya hari ini satu kerjaya yang penuh dengan pengalaman yang menyeronokkan.
Disebabkan itu, dia tidak kisah apabila terpaksa berpanas mahupun berhujan di landasan yang sentiasa bingit dengan bunyi enjin pesawat.
Mendapat sokongan padu daripada keluarga serta rakan-rakan, ia sekali gus menjadikan Nurul Maizura seorang pekerja yang begitu komited dengan tanggungjawab yang diberikan.
Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, dia mengakui setakat ini belum lagi pernah melakukan kesilapan seperti tersalah menempatkan beg-beg penumpang atau cuai dalam melaksanakan tugas-tugas yang lain.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, walaupun kerjaya tersebut mengkehendaki mereka bergerak pantas, ia tetap dilakukan dalam keadaan yang penuh berhati-hati agar tiada kesilapan.
Katanyai, waktu puncak bagi pekerja yang bekerja pada giliran pagi ialah pada pukul 3 hingga 5 petang manakala untuk giliran malam pula bermula seawal 5 hingga 8 pagi.
Ini kerana pada waktu-waktu tersebut kapal terbang banyak mendarat atau berlepas dan untuk waktu begini, maksimum kapal terbang yang 'singgah' di lapangan terbang adalah sebanyak 23 buah.
Jelas Nurul Maizura lagi, seorang pekerja biasanya akan mengendalikan sekurang-kurangnya 10 buah pesawat dalam sehari.
"Sebelum tiba waktu puncak, kami mungkin boleh lagi bergelak ketawa dan bergurau senda. Tetapi apabila tiba waktu puncak, kami tiada masa untuk semua itu malah kalau dilihat wajah masing-masing begitu serius dan fokus.
"Ketika ini biasanya kami akan berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat berikutan bunyi bising enjin pesawat.
"Bagaimana sibuk sekalipun, kami tetap gembira bekerja di bahagian ramp malah kami semua seperti sebuah keluarga yang besar," tambahnya.
Yang pasti, petugas yang bekerja di bahagian ramp merupakan orang penting dalam mengendalikan setiap urusan yang berkaitan dengan kapal terbang mahupun bagasi setiap penumpang.
Tanpa mereka pastinya kerja-kerja pemunggahan bagasi, pembersihan kapal terbang, muat turun bagasi ke dalam pesawat dan lain-lain lagi tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment