Monday, April 16, 2012

curi kelapa punya pasal

Curi 30 biji kelapa sebab terdesak
Wartawan Sinar Harian
16 April 2012
Tuki dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU - Dek kerana terdesak mendapatkan wang, seorang buruh mengambil jalan mudah mencuri 30 biji kelapa dalam kebun milik jiran sekampungnya di Kampung Jeram Tepoh, di sini, 19 Mac lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral tertuduh, Mohd Azman Awang @ Mohd Amin, 35, dari Kampung Jeram Tepoh, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri 30 biji kelapa milik Mohamad Najibullah Mohd Zin, 23, kira-kira jam 11 pagi, 19 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Najibullah yang ketika itu berada di hadapan rumahnya dimaklumkan oleh datuknya berhubung kehadiran tertuduh yang sedang mencuri buah kelapa di kebun milik bapanya.

Sejurus mengetahui kejadian itu, dia yang bekerja kontrak terus bergegas ke kebun bapanya bersama bapa saudaranya sebelum menemui tertuduh yang dikenal sebagai Tuki.

Bagaimanapun, tertuduh cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran mangsa sebelum berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, Mahkamah Majistret di sini, turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas tertuduh mengaku salah memecah masuk dan mencuri dua bentuk cincin kuning keemasan, seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit Sony Ericsson milik Rosnawati Abdul Rahim, 38, di Kampung Jeram Manir, di sini.

Mohd Azman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu antara jam 11 malam hingga 6 pagi pada 8 dan 9 April lalu.

Bagaimanapun, Rozianti memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 11 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 9.30 pagi pada 11 April lalu, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Manir.

Tertuduh yang ketika itu berada dalam mencurigakan di tepi jalan Pengkalan Pinang, Jeram, Manir mengaku melakukan jenayah curi dan pecah masuk rumah mangsa.

No comments:

Post a Comment