Monday, April 9, 2012

peneroka juga ditipu

Waspada skim tipu geran tanah peneroka Felda - BNM

KUALA LUMPUR 5 April - Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan peneroka Felda agar berhati-hati berhubung skim penipuan kewangan yang menggunakan nama bank pusat itu bagi tujuan mendapatkan salinan kad pengenalan serta geran tanah dari mangsa.

BNM dalam satu kenyataan berkata, pihak yang menipu itu akan menggunakan pelbagai jenis skim di mana modus operandinya sentiasa berubah-ubah demi mengelirukan orang ramai.

Mereka akan menyamar sebagai pegawai kerajaan, pegawai penguatkuasa seperti polis, pegawai bank, penjawat awam dan juga pegawai BNM untuk menipu mangsa.

Menurut BNM, antara modus operandi skim penipuan tanah Felda yang digunakan apabila mangsa didatangi individu yang menyamar sebagai wakil syarikat pengurusan dan perkhidmatan yang memberitahu mengenai tindakan BNM membekukan satu akaun kerajaan yang mempunyai sejumlah wang yang besar di dalamnya.

"Bagi membolehkan wang tersebut dikeluarkan, pihak kerajaan telah mengarahkan peneroka Felda menyerahkan salinan kad pengenalan dan geran tanah kelapa sawit masing-masing.

"Sebagai balasan, pihak peneroka berkenaan akan diberi RM350,000 yang mana RM100,000 akan digunakan oleh kerajaan untuk membiayai kempen pilihan raya akan datang. Ia adalah bohong," menurut kenyataan itu.

Setakat ini, beberapa peneroka terdiri daripada ibu tunggal telah menjadi mangsa skim penipuan ini.

Justeru bagi mengatasi masalah tersebut, BNM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan sentiasa memberi peringatan melalui media massa seperti di akhbar dan melalui laman web masing-masing mengenai kes penipuan kewangan terkini.

"BNM atau agensi kerajaan tidak akan menghubungi pelanggan atau peneroka Felda untuk meminta maklumat atau menyerahkan salinan kad pengenalan atau menyerah geran tanah atau meminta orang ramai atau peneroka Felda untuk membiayai kempen pilihan raya," menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM iaitu BNMLINK dan BNMTELELINK (1-300-88-5465) bagi mendapatkan penjelasan, nasihat atau membuat aduan berhubung isu penipuan kewangan.

No comments:

Post a Comment