Monday, April 16, 2012

dipukul penyamun

Muntah darah dipukul penyamun
Wartawan Sinar Harian
15 April 2012
Muntah darah dipukul penyamun
JERTIH – Seorang nenek berusia 67 tahun muntah darah apabila kepalanya dihentak dengan topi keledar oleh lelaki yang menyamunnya dalam kejadian di Kampung Gong Nering dekat Jertih, Rabu lalu.

Mangsa, Staja Hamat terpaksa bermalam di dalam wad Hospital Besut selama dua malam apabila sering muntah bercampur darah dan pening akibat kepalanya dipukul kuat oleh seorang lelaki kira-kira jam 5.30 petang pada jarak 200 meter dari rumahnya.

Menurutnya, pada petang kejadian dia bersendirian sedang memberi makan rumput dua ekor lembu peliharaan berhampiran sawah padi.
“Tiba-tiba datang seorang pemuda berbadan kurus agak tinggi dan berkulit cerah dengan sebuah motosikal. Lelaki itu meletak motosikal agak jauh kemudian datang berjalan kaki ke arah makcik dengan topi keledarnya disangkut pada lengan sebelah kiri lalu menghentak kepala saya,” katanya yang masih terasa pening ditemui di rumahnya semalam.

Staja berkata, pemuda itu kononnya bertanya rumah seseorang yang turut dikenalinya.

Namun, walaupun Staja memberitahu orang yang dicarinya telah berpindah tetapi lelaki itu masih tidak beredar dari situ sebaliknya cuba untuk berbual dengannya hampir 30 minit.

Menurutnya, ketika dia berpaling membelakangi lelaki itu untuk memberi lembu makan rumput tiba-tiba kepalanya dihentak kuat dengan topi keledar menyebabkan matanya berpinar-pinar dan dia berasa sakit yang amat sangat kemudian suspek terus menjatuhkannya ke tanah dengan cara ‘memeteh’ kakinya.

“Makcik terasa seperti hendak pitam akibat puku-lan itu, lelaki itu kemudiannya merentap rantai leher makcik hingga putus sebelum dia menanggalkan sepasang subang di telinga makcik dan melarikan diri selepas itu,” katanya yang kerugian kira-kira RM3,000.

Staja memberitahu, dalam keadaan terhuyung-hayang dia gagahi juga pulang ke rumah untuk meminta tolong sebelum dikejarkan ke hospital oleh cucunya.

Akibat pukulan itu menyebabkan kepalanya bengkak dan sehari selepas kejadian dia mula muntah darah dan sering pening menyebabkan dia ditahan di Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
Dia membuat laporan di Balai Polis Jertih.

Staja yang tidak kenal suspek itu memberitahu dia difahamkan suspek telah pergi ke beberapa rumah di kampung itu kononnya mencari orang yang sama sebelum bertindak menyamunnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan kecederaan.

No comments:

Post a Comment