Monday, April 30, 2012

samseng betul

ARKIB : 27/04/2012

Penjaja bimbang diserang samseng

Frankie Gan menunjukkan gambar wajah Yee Ah Lek yang parah dipukul dua lelaki.
KUALA LUMPUR 26 April - Kira-kira 100 peniaga yang mengusahakan gerai makan di Jalan Alor di sini, meminta pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan perniagaan berkenaan setelah berlaku insiden seorang penjaja di situ diserang dua lelaki berlagak samseng baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam pada 14 April itu, peniaga mi, Yee Ah Lek, 60, koma selama beberapa hari akibat cedera parah setelah dipukul dan ditendang oleh dua lelaki tidak dikenali yang berang kerana ditegur membuang air kecil di tepi gerainya.
Anak mangsa, Yee Hon Weng, 29, berkata, bapanya yang sudah 30 tahun berniaga menjual 'pan mi' di Jalan Alor bertindak menegur dua lelaki terbabit apabila melihat mereka mahu membuang air kecil di tepi gerainya.
"Namun, mereka terus menumbuk muka bapa saya sampai terjatuh dan kemudian menendang kepala serta badannya tanpa belas kasihan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Tower City di Jalan Alor di sini hari ini.
Turut hadir ibunya, Mak Ah Moi, 60; Setiausaha Barisan Nasional Parlimen Bukit Bintang, Frankie Gan; Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor Kuala Lumpur, Leko Bek Kok Khiang bersama Setiausahanya, Zong Yuan.
Menurut Hon Weng, turut cedera diserang ialah pembantu gerai mereka dikenali sebagai Jackie berasal dari Myanmar yang mengalami luka dan lebam di muka akibat ditumbuk semasa mahu menyelamatkan bapanya.
Sementara itu, Frankie berkata, dua lelaki yang menyerang Ah Lek ditangkap polis di tempat kejadian pada malam sama.
Beliau berkata, kedua-dua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan dan polis masih menunggu Ah Lek sedar dan boleh bercakap bagi melengkapkan siasatan.
Leko pula berkata, ahli persatuannya seramai kira-kira 100 orang amat berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan keselamatan di Jalan Alor memandangkan gerai makan di situ merupakan tempat tumpuan penduduk tempatan dan pelancong asing menjamu selera.
"Inilah kejadian pertama penjaja diserang oleh samseng dan ia perlu dihalang daripada berulang kerana bimbang boleh menjejaskan pendapatan kami dan menjejaskan imej negara kepada pelancong," katanya.

No comments:

Post a Comment