Thursday, April 12, 2012

lori minyak tumpah

ARKIB : 10/04/2012

Tadah minyak masak lori tangki kemalangan


Orang ramai mengambil kesempatan mendapatkan minyak masak percuma daripada sebuah lori membawa muatan minyak masak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Langgar, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR 9 April - Kira-kira 5,000 penduduk kampung dan kawasan perumahan berhampiran Jalan Langgar di sini tidak melepaskan peluang menadah minyak masak 'percuma' dari tangki sebuah lori yang bocor selepas terlibat dalam kemalangan hari ini.
Orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut dari pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam dan ada yang masih menadah minyak masak tersebut ketika hujan pada sebelah petang.
Lori tangki dari Butterworth, Pulau Pinang yang membawa sebanyak 18 tan minyak masak bernilai kira-kira RM45,000 itu tersadai di bahu jalan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportage dari arah belakang kira-kira pukul 11.55 pagi.
Ketika kejadian, lori tersebut dalam perjalanan untuk menghantar bekalan minyak tersebut ke sebuah kilang untuk proses pembungkusan di Kampung Bukit, Naka di sini.
Pemandu lori, Azizan Hashim, 47, memberitahu, akibat kemalangan itu, bahagian bawah tangki bocor menyebabkan muatan minyak masak tumpah ke jalan raya dan longkang bersebelahan.
"Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana banyak bahagian tangki lori yang bocor dan ia memang tidak boleh ditampung lagi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurutnya, minyak masak terus tumpah menyebabkan pemandu yang lalu lalang di situ mengambil kesempatan menadah minyak masak daripada ia terbuang begitu sahaja.
"Majikan saya pun kata tak boleh buat apa-apa dan dia tidak menghalang orang ramai daripada terus mengambil minyak masak tersebut kerana jika tidak, ia hanya terbuang di jalan," jelasnya.
Seorang suri rumah, Norhamrina Kadir, 23, berkata, dia terus ke tempat kejadian selepas mendengar bunyi kuat seperti kemalangan dan mendapati sebuah SUV dan lori tersadai di bahu jalan.
"Saya nampak ada minyak masak tumpah ke jalan dan kerana rasa sayang ia terbuang begitu sahaja, saya terus tadah dan kemudian diikuti pemandu jalan yang kebetulan melalui jalan ini," katanya yang tinggal di Kampung Alor Jawi di sini.
Katanya, dia telah menadah sebanyak 30 kilogram minyak masak sejak pukul 12 tengah hari dan ia akan dikongsi dengan saudara-mara lain.
"Kakak saya akan mengadakan kenduri kahwin pada bulan depan dan mungkin minyak masak ini boleh digunakan untuk kenduri itu nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment