Polis buru bomoh wanita rawat pesakit hingga maut
KUALA TERENGGANU 16 Jun - Polis memburu seorang bomoh wanita berketurunan Siam yang merawat pesakitnya sehingga mati di Kampung Pulau Rusa Mercang, Marang, malam semalam.
Bomoh dikenali sebagai Kak Yah berusia 43 tahun itu dipercayai menetap di situ sejak lebih setahun lalu bersama suaminya, berusia 33 tahun, dari Rantau Panjang, kini menghilangkan diri ekoran kejadian tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pihak polis telah merampas beberapa peralatan digunakan untuk tujuan perubatan di rumah itu.
Dalam kejadian itu, seorang pemuda, Faisal Harun, 26, dari Kampung Gong Beris Marang, yang dikatakan terkena buatan orang dibawa oleh anggota keluarganya mendapat rawatan di rumah bomoh berkenaan.
Mangsa dikatakan dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah kononnya untuk mengeluarkan jin yang merasuk dalam badan lelaki berkenaan.
Menurut Manoharan, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Jelas Manoharan, mangsa difahamkan menghidap penyakit mental walaupun bomoh itu mendakwa mangsa sebenarnya terkena buatan orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Manoharan menyeru kepada orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana bomoh yang kononnya mampu merawat sebarang penyakit.
Katanya, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan setiap tindak-tanduk bomoh-bomoh yang keterlaluan.
"Jika rawatan yang diberikan (bomoh) agak keterlaluan, saya nasihatkan mereka hentikan rawatan itu dan bawa pesakit terus berjumpa doktor," katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa memberitahu mereka diminta menyediakan sembilan jenis bahan-bahan pelik berwarna hitam termasuk sembilan ekor ayam kampung, telur ayam, cincau dan anggur serta wang pendahuluan RM200 untuk merawati penyakit dihidapi Faizal.
Bapa mangsa, Harun Busu Senik, 56, berkata, dirinya seolah-olah dipukau apabila menuruti semua permintaan bomoh tersebut.
"Kami bagai kena pukau ketika melihat Faizal dipaksa minum air berterusan. Apabila tiba di hospital baru kami tersedar dan marah atas perbuatan bomoh itu," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment