Bekas pelajar hina Yang di-Pertuan Agong serah diri
KUALA TERENGGANU 22 Jun - Salah seorang daripada dua suspek yang diburu polis kerana dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam laman sosial Facebook baru-baru ini menyerah diri kepada polis kelmarin.
Suspek yang berusia 24 tahun merupakan bekas pelajar sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan menyerah diri kira-kira pukul 8 malam dengan membawa bersama beberapa barang kes iaitu sebuah komputer riba, alat pengecas dan tetikus.
Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, berikutan itu, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Katanya, pemuda itu akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan yang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Suspek berasal dari Kelantan dan tidak bekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang pengadu, A. Rashid Ridha Muhammad sebelum ini membuat laporan polis berhubung penghinaan yang dibuat ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam laman 'Facebook' milik Kelab Penyokong Pasukan Bola Sepak Terengganu (TFC).
Ia dipercayai didalangi oleh dua suspek yang dikenali sebagai Nik Rabani dan Kay Shakila.
Bagaimanapun, Kay Shakila masih belum berjaya dikesan sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Jamshah mengingatkan para pengguna 'Facebook' supaya sentiasa berhati-hati dan tidak bergurau secara keterlaluan sehingga mencemarkan nama baik pihak lain.
"Dalam kes ini, penghinaan terhadap institusi diraja merupakan satu kesalahan yang serius dan perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak," tegas beliau.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment