Tuesday, June 7, 2011

Cari Kambing Maut

Penternak ditemui mati selepas cari kambing

KOTA TINGGI 6 Jun – Seorang penternak kambing yang dilaporkan hilang ketika mencari haiwan ternakannya sejak dua hari lalu ditemui mati di Ladang Tai Tak Mawai Division di sini semalam.

Mayat Mazlan Masalawany Abdullah, 44, yang dikenali penduduk sebagai ‘Lan Kambing’, ditemui lapan kilometer dari rumahnya selepas dia dikatakan keluar mencari 30 ekor haiwan ternakannya sejak Jumaat lalu.

Isterinya, Foziah Mohd. Saad, 43, berkata, Mazlan sempat menghubunginya pada pukul 2.25 petang Jumaat lalu meminta anak tunggal mereka, Mohd. Norazim datang membantu bagi membersihkan kandang kambing.

“Anak saya kemudian pergi membantunya sebelum suami saya memberitahu dia hendak keluar mencari 30 ekor kambing yang hilang. Saya agak hairan kerana sebelum ini, kambing ternakan kami tidak pernah sesat atau tidak pulang ke kandang.

“Saya pelik macam mana mayat suami saya ditemui di ladang itu kerana tidak munasabah dia mencari kambing dengan berjalan kaki sehingga ke situ. Kasut yang biasa dipakainya juga hilang tetapi stokinnya masih bersih malah telefon bimbit serta dompet dan wangnya tidak diusik,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga dan jiran terdekat berusaha mencari suaminya di sekitar kebun sejak Jumaat malam dan sepanjang Sabtu lalu selepas suaminya tidak pulang ke rumah dan tidak menjawab panggilan telefon.

Foziah kemudian membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada malam Sabtu selepas usaha mencari gagal dan dihubungi polis pada pagi semalam supaya datang ke Ladang Tai Tak Mawai Division, 15 kilometer dari Felda Pasak untuk mengecam mayat seorang lelaki.

“Hati saya berdebar apabila melihat mayat itu yang berdarah di bahagian muka adalah suami saya,” katanya lagi.

Tambahnya, dua hari sebelum kejadian suaminya yang berasal dari Kebun Teh, Johor Bahru dan memeluk Islam seawal usia 10 tahun, meminta sejadah baru untuk digunakan di pondok ladang kambing mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di Ladang Tai Tak Mawai Division itu adalah Mazlan Masalawany.

“Kita masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat itu bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” kata beliau.
TAJUK-TAJUK BERITA LAI

No comments:

Post a Comment