Wednesday, June 22, 2011

delima doktor

Doktor kerajaan berduka selepas ditukar, naik pangkat

SAYA adalah doktor kerajaan gred UD 54 bertugas di salah sebuah hospital di Pulau Pinang. Saya ditukarkan ke sini apabila dinaikan pangkat daripada gred U41 ke U48 tujuh tahun lalu. Sejak itu bermulalah episod duka saya.

Tanpa diberi pilihan, saya ditempatkan di satu jabatan yang bidang tugasnya berbeza dari pengalaman kerja yang lalu. Saya terpaksa bermula dari bawah dengan penuh kesukaran. Kecemerlangan kerja dahulu tidak membantu saya.

Saya tidak keseorangan kerana ramai lagi yang senasib dengan saya. Namun kesulitan kami tidak diambil peduli oleh sesiapa pun kerana kami bukan doktor pakar. Suara kami tidak didengar, bahkan kami dipandang sinis.

Antara perkara yang kami hadapi ialah:

*Dilabel dan dipanggil ‘Pegawai Perubatan Kronik’ atau kadangkala sebagai ‘Pegawai Perubatan Tua’ secara terbuka.

*Dianggap tidak berilmu dan profesional lantaran kami bukan doktor pakar. Arahan diberi tidak mengambil kira sentimen kami. Ada kalanya tugas yang diberi kepada kami tidak setimpal dengan gred dan kepakaran yang setimpal hasil pengalaman kerja.

*Sengaja dimarahi di hadapan pesakit/kakitangan lain hanya dengan kesalahan kecil.

*Dicemburui oleh pakar yang lebih muda tentang tangga gaji.(Kami bekerja bertahun-tahun lamanya sebelum sampai ke tahap ini).

*Ada antara kami bekerja di bawah ketua jabatan yang bukan doktor dan dibuli dengan teruk.

*Tidak dihormati oleh doktor lapisan muda dan kakitangan bawahan kerana kebanyakan kami masih menjalankan tugas gred UD 44.

*Ada juga antara kami tidak diberi sebarang potfolio dalam jabatan.

Kami tiada ruang untuk bersuara. Kami tidak perlu pangkat besar, cukup hanya diberi peluang untuk menunjukkan potensi kami yang sebenar berdasarkan pengalaman kerja kami. Kami tidak perlu bekerja di bawah pakar sekiranya latar belakang tugas kami dahulu berbeza.

Pembaharuan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan jika pegawai pengurusan atasan dapat berfikir lebih jauh lagi atau keluar dari pemikiran sehala dengan melihat keupayaan setiap orang daripada kami tanpa diskriminasi.

DOKTOR KECEWA

Pulau Pinang

1 comment: