Tuesday, June 21, 2011

Curi Motor guna FB

Geng curi motosikal guna Facebook tumpas

KLUANG 20 Jun - Empat pemuda yang menggunakan laman sosial Facebook dalam kegiatan jenayah curi motosikal sejak tahun lalu, akhirnya berjaya diberkas polis di daerah ini minggu lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 24 tahun ditahan di Taman Perkasa di sini pada pukul 12.10 tengah malam, 13 Jun lalu.

Kumpulan penjenayah itu yang tidak bekerja dikatakan merancang operasi jenayah mereka di laman Facebook dengan nama profil 'belut'.

Dengan penangkapan mereka, polis yakin dapat menyelesaikan 17 kes curi motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, siasatan polis mendapati, mereka akan melakukan kegiatan curi motosikal mengikut perancangan yang ditulis dalam Facebook, sebagai contoh waktu yang sesuai untuk melakukan jenayah itu.

"Bagaimanapun, tindakan mereka ini hanya memudahkan pihak polis untuk menahan dan membuktikan kesalahan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Mohd. Fawzi berkata, suspek pertama ditahan di sebuah rumah di taman itu bersama sebuah motosikal curi. Hasil soal siasat, membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek bersama tiga lagi motosikal yang dicuri.

Katanya, motosikal tersebut digunakan suspek dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain sebahagian komponennya dijual di pasaran gelap.

Beliau memberitahu, kumpulan itu sering menjadikan motosikal jenis Honda EX5 sebagai sasaran.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Sekyen 379A/411 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan memiliki barang curi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun penjara dan denda, jika disabit kesalahan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment