Doktor pelatih hilang ditemui tak bayar makan
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JITRA: “Saya tak sedar apa pun. Saya tidak tahu menaiki apa dan bagaimana boleh berada di Kuantan,” kata Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, yang hilang hampir sebulan lalu di Alor Setar sebelum dijumpai di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang, Sabtu lalu.
Doktor pelatih di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar itu dilaporkan hilang sejak 16 Mei lalu selepas dihantar bapanya, Mohd Nazri Wan Senik, 54, ke tempat kerja di HSB kira-kira jam 6.30 pagi.
Mohd Noor Azam yang kali terakhir dilihat lengkap berpakaian doktor ditemui dalam keadaan selekeh dan kotor dengan memakai kemeja-T lusuh, seluar sukan, berselipar selain menggalas beg sekolah yang mengandungi kain pelekat, kopiah, sabun basuh tangan dan berus sabut.
Malah, beliau juga kehabisan wang dan dalam tempoh itu tujuh kali mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) berjumlah RM2,400.
“Saya juga tidak tahu ke mana wang itu pergi atau apa yang saya lakukan dengan wang itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya, di sini, semalam.
Mohd Noor Azam berkata, selepas turun dari kereta bapanya dia mengikut laluan pejalan kaki berhampiran Wad Diraja HSB sebelum terdengar suara wanita meminta dia mengikutinya.
“Itu saja yang saya ingat. Saya juga tidak tahu bagaimana rupa wanita itu dan saya hanya mengikut arahan suaranya. Selepas itu bagaimana saya makan, saya menaiki apa dari Alor Setar ke Kuantan pun, saya tidak tahu.
“Saya juga ingat suara itu ada mengatakan hanya akan ‘melepaskan’ saya pada hari pertunangan saya yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu. Nampaknya dia benar-benar melepaskan saya pada hari itu.
“Saya tidak tahu apa motif dan punca kejadian ini kerana saya tidak mampu mengingati apa-apa. Malah, selama ini saya juga tidak mempunyai musuh,” katanya. Menceritakan detik ditemui semula, Mohd Noor Azam berkata, beliau ditahan seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Kuantan kerana tidak membayar makanan kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu.
“Ketika ditahan, mereka memeriksa dompet saya untuk memastikan saya tiada wang. Ketika itu baru pengawal keselamatan terbabit menyedari saya orang hilang yang disiarkan akhbar, baru-baru ini.
“Pada masa sama, saya tersedar dan baru tahu saya hilang dari rumah, tetapi menyangka cuma hilang empat hari sedangkan sudah hampir sebulan.
“Malah, badan saya juga berasa sangat letih, lenguh dan lapar walaupun baru selesai makan,” katanya yang menangis sebaik menyedari dia hilang dari rumah keluarga sejak hampir sebulan, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada ahli keluarga.
Katanya, selain wang tunai RM2,400 dan pakaian kerja, begnya yang mengandungi peralatan perubatan seperti stetoskop dan beberapa nota turut hilang.
Mohd Noor Azam, lulusan Akademi Perubatan Moscow dan menjalani latihan di HSB sejak Oktober tahun lalu pernah dilaporkan hilang dua kali, tetapi dalam tempoh dua hingga tiga hari.
No comments:
Post a Comment