Friday, June 3, 2011

Curi Kabel Sampai Mati


Curi kabel: Mayat lelaki separuh melecur atas siling rumah

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ditemui mati terbakar dipercayai cuba mencuri kabel elektrik di atas siling rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI 2 Jun - Seorang wanita melalui pengalaman yang menakutkan apabila menemui mayat seorang lelaki di atas siling rumahnya yang dikosongkan sejak dua tahun lalu di Taman Ria Jaya di sini hari ini.

Mangsa yang belum dikenal pasti identiti berusia lingkungan 20-an itu dipercayai mati terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri dawai elektrik di rumah teres di Lorong Serampang 12 itu.

Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan separuh melecur oleh polis kira-kira pukul 11 pagi.

Pemilik rumah yang mahu dikenali Salina, 40, berkata, dia datang untuk melihat keadaan rumahnya itu yang dikosongkan sejak berpindah ke rumah baru dua tahun lalu, kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Apabila saya sampai, saya dapati ada cecair seperti darah mengalir turun dari siling. Saya kemudian memeriksa keadaan sekitar dan terhidu bau seperti objek terbakar, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena, dia segera ke Pondok Polis Inisiatif Bandar Selamat (IBS) Taman Ria Jaya memaklumkan kejadian itu.

Katanya, anggota polis yang datang memeriksa siling rumahnya menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan melecur di atas siling rumah itu.

Mayat lelaki itu dikeluarkan oleh pihak polis bersama anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Pihak berkuasa turut menemui beberapa gulung dawai elektrik yang telah dipotong," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, mayat lelaki tersebut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment