Pengalaman di Kemboja menginsafkan
Oleh Saifulizam Mohamad
KETIKA berjalan-jalan di pasar sehari di Kampung Jumnik (Kampong Cham, Kemboja) sehari selepas kumpulan ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) tiba di kampung itu, saya telah disapa oleh seorang penduduk tempatan berusia sekitar 70-an.
Dengan riak muka yang begitu ceria dan amat mesra dia kemudian bersungguh-sungguh mengajak saya datang ke rumahnya untuk bersarapan dengan ahli keluarga yang lain.
Walaupun agak terkejut dengan pelawaan itu namun saya mengambil keputusan menerima pelawaan Omar Dollah, 72 berasaskan semangat saudara sesama Islam kerana itu jugalah yang dituntut oleh syariat.
Omar cuba berbual dengan saya tetapi malangnya bahasa Melayu yang digunakan agak sukar difahami kerana dialek bahasa Melayu Champanya begitu pekat.
Dia bertanyakan pelbagai soalan dan saya berusaha menjawab sedaya upaya walaupun diakui sebahagian besar perkara yang disoal amat sukar difahami.
Dalam perjalanan ke rumahnya Omar sempat membeli kuih cekoi namun saya hairan apabila melihat kepingan wang kertas rial (mata wang Kemboja) yang diberikan kepada penjual kuih tersebut agak banyak.
Setiba di rumahnya saya diperkenalkan dengan anak perempuannya, Khadijah, 26, isterinya, Hamidah Yusof, 65.
Komunikasi saya dan keluarga Omar menjadi lebih mudah apabila Khadijah fasih berbahasa Melayu kerana dia sebelum ini pernah tinggal di Kampung Payung, Kuala Terengganu bersama suaminya Ramli Salleh, 32 untuk bekerja.
Omar dan anaknya mempelawa bersarapan pagi dengan memberi saya hidangan tradisional masyarakat Melayu Champa iaitu pecok atau dikenali dengan laksa Kemboja.
Semasa saya bersarapan Khadijah menceritakan keadaan hidup kebanyakan orang Melayu Champa di Kemboja khususnya di kampungnya iaitu Kampung Jumnik.
Khadijah yang kini sedang sarat mengandung memberitahu keadaan hidup orang Melayu di sini jauh berbeza berbanding orang Melayu di Malaysia.
Menurut Khadijah, hampir sebahagian besar orang Melayu Kemboja hidup dalam keadaan miskin dengan purata pendapatan sehari antara RM10-RM20. Mereka bekerja sebagai nelayan petani atau peniaga kecil.
Keadaan yang menghimpit itu telah mendorong sebahagian di kalangan anak-anak muda Melayu Kemboja berhijrah ke Malaysia dan beberapa negara lain.
Khadijah memberitahu saya bagaimana sukarnya mereka melalui kehidupan seharian di Kemboja memandangkan pekerjaan di sini amat terhad.
Keadaan semakin menghimpit apabila barangan keperluan asas seperti minyak petrol, minyak masak, gula, susu pekat dan ikan amat mahal jika dibandingkan dengan pendapatan yang mereka perolehi.
Khadijah berkata, harga minyak petrol di Kemboja adalah 5,000 rial (RM5) seliter, minyak masak 8,000 rial (RM8) sekilogram, susu pekat kecil 3,000 rial (RM3) setin dan ikan 10,000 rial (RM10) sekilogram.
‘‘Di Malaysia semuanya murah. Minyak masak di sana cuma RM2.20 sekilogram. Minyak petrol seliter tidak sampai RM2. Susu pekat manis hanay RM2.20 dan itu pun tinnya lebih tinggi. Di Kemboja lain, semua barang mahal,” kata Khadijah.
Namun begitu, apa pilihan mereka dan mahu tidak mahu orang Melayu Kemboja perlu teruskan hidup walaupun dibebani dengan faktor kemiskinan.
Saya juga diberitahu oleh Khadijah ‘milo’ di Kemboja adalah teh tiga dalam satu dan bukannya air coklat seperti di Malaysia.
Mujur jugalah katanya, suaminya, Ramli dan abangnya, Ahmad, 32, masih bekerja di Terengganu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
‘‘Suami dan abang saya ada mengirimkan wang untuk kami. Tambahan pula emak dan ayah turut menjaga du orang anak abang, Rosdi Ahmad, 10 dan Amirah, 8. Mereka berdua sedang bersekolah dan amat memerlukan perbelanjaan.
‘‘Saya pula hendak bersalin dan dijangka pada bulan ini.Saya juga amat memerlukan perbelanjaan tambahan,” ujarnya.
Ada satu perbuatan Hamidah, ibu kepada Khadijah yang menggelikan hati saya apabila dia menunjukkan segumpal wang rial jika hendak membeli gula sekilogram dan telatahnya itu menjawab persoalan apabila melihat harga kuih cekoi dibeli oleh suaminya, Omar.
‘‘Sepuluh rial sama dengan sepuluh sen duit Malaysia dan ia dicetak dengan wang kertas. Jika harga sekilogram 4,000 rial berapa keping wang kertas 10 rial terpaksa digunakan melainkan terdapat nilai lebih besar,” kata Khadijah.
Bagaimanapun di sebalik kemiskinan yang membelenggu orang Melayu di Kemboja mereka mempunyai budi bahasa dan akhlak yang amat tinggi antaranya mereka amat memuliakan tetamu.
Mereka bersungguh-sungguh meminta saya menjamah setiap makanan yang dihidangkan.
Apa yang lebih penting, pengalaman bertemu Omar sekeluarga tidak sampai dua jam itu amat menginsafkan apatah lagi pemerhatian saya secara keseluruhan terhadap kehidupan orang Melayu di Kemboja selama tiga hari JWJ2 mengembara di negara itu.
Kepada rakyat Malaysia, mungkin catatan pengalaman ini tidak berbekas namun ingatlah tidak rugi menjadi seorang yang bersyukur terhadap segala kurniaan Allah.
Insaflah, bumi Malaysia yang kita duduki selama ini begitu aman dan makmur berbanding negara-negara lain. Oleh itu, pertahankanlah kemakmuran dan keamanan ini dengan segala kudrat serta tenaga yang ada.
sangat bagus dan menginsafkan
ReplyDelete