Wednesday, June 22, 2011

Sekolah Ugama Untuk Menentang Kerajaan

Pastikan maahad lahirkan alim ulama, bukannya pengganas

KEGIATAN merekrut pelajar sebuah maahad di Negeri Sembilan berjihad selepas dihasut untuk membenci kerajaan adalah suatu perkara yang cukup serius.

Apa yang didedahkan akhbar ini telah membuktikan pelajar-pelajar maahad atau pondok pengajian Islam sentiasa sahaja menjadi sasaran oleh kelompok-kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam.

Kelompok ini akan menghasut pelajar-pelajar atas nama Islam dan memesong pemahaman mereka mengenai maksud jihad sebenar.

Bagi mempengaruhi pelajar-pelajar yang masih mentah tersebut, kelompok itu akan menjadikan hadis dan ayat al-Quran sebagai dalil, biarpun hakikatnya ia dipetik separuh-separuh atau diterjemahkan mengikut kepentingan mereka sahaja.

Pendedahan mengenai wujudnya elemen menghasut ini tidak boleh dipandang sepi oleh kerajaan. Janganlah kita hanya berhujah tidak mempunyai bukti atau melakukan penafian semata-mata.

Perbuatan seumpama ini sudah tentulah akan menggembirakan golongan yang sedang menghasut pelajar tersebut.

Memanglah pihak yang disabitkan akan menafikan penglibatan maahad mereka tetapi itu bukanlah bermakna ia boleh diterima bulat-bulat.

Pengakuan beberapa pelajar bahawa mereka perlu membuat ikrar taat setia kepada kumpulan yang ingin berjihad berkenaan sudah menjadi bukti betapa seriusnya gerakan tersebut.

Apatah lagi pihak yang turut terlibat untuk menggerakkan perjuangan songsang berkenaan dengan menggunakan nama Islam itu ialah beberapa ustaz dan fasilitator yang didatangkan daripada beberapa buah universiti tempatan.

Apa yang perlu difahami, sejarah dan peristiwa yang berlaku di beberapa negara Islam telah menjadi bukti bagaimana mereka yang diterapkan dengan semangat jihad ini sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjadi pengebom bunuh diri.

Setakat ini, kita didedahkan bahawa pelajar maahad tersebut turut diajar cara mengadakan demonstrasi haram. Cara diajar juga cukup bahaya apabila mereka diletakkan seolah-olah dalam situasi sebenar demonstrasi, termasuk ada yang berlakon sebagai polis serta melaungkan takbir.

Semua ini sudah membuktikan bahawa kegiatan untuk mewujudkan satu kelompok yang menentang kerajaan atas nama jihad adalah cukup serius.

Atas sebab itulah, sudah sampai masanya kerajaan dan pihak berkuasa bertindak tegas dengan memastikan mana-mana maahad yang disahkan terlibat dalam kegiatan berkenaan ditutup sahaja aktivitinya.

Ia kerana kita tidak boleh membiarkan mana-mana maahad atau pondok pengajian agama di negara ini menjadi markas melatih dan melahirkan pengganas.

Menggunakan nama Islam dan jihad adalah cara terbaik bagi kelompok pengganas mempengaruhi pelajar-pelajar, apatah lagi dengan tindakan mereka mendakwa kerajaan yang ada sekarang adalah kafir dan wajar diperangi.

Semua pemahaman ini tidak harus dibiarkan bertapak di mana-mana juga maahad kerana ia amat bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Justeru adalah wajar jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri mengunjungi maahad-mahad di seluruh negara bagi memastikan mereka benar-benar wujud untuk melahirkan alim ulama dan bukannya pengganas.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment