Sunday, June 5, 2011

Siti Jarum Kenakan Ko Salih

Salih, cukup-cukuplah tu

Siti Jarum

BARU-BARU ini seorang pakcik meminta Siti membisikkan kepada Salih Yaacob, cukup-cukuplah bercerita fasal kahwin empat. Katanya, tak payahlah pukul gendang sangat misalnya kahwin itu ibadatlah, tuntutan agamalah dan dan bla...bla..bla... Pesan pakcik itu kalau rasa nak kahwin, kahwin sajalah sebab dia sendiri pun kahwin empat.

Siti setuju sangat dengan pakcik itu. Siti lihat Salih sudah terlebih sudu. Ketika ini Salih menjadi sumber berita kepada media. Tapi Saleh tak bijak menguruskan dirinya sebagai sumber berita. Siti nampak Salih gembira sangat beristeri empat dan bercerita tentang “bulan madu” dengan semua isteri dan 11 anak ke China.

Siti fikir biarlah pihak lain saja yang memperkatakan tentang dia, biarlah surat khabar atau majalah yang menulis tentang dia. Tuan punya diri janganlah terlampau banyak bercakap tentang diri sendiri. Janganlah pula selepas ini Salih akan memaklumkan perkembangan “terkini” para isterinya, siapa mengandung, siapa bersalin dan siapa dalam berpantang kepada umum.

Siti kenal Salih ini pun kerana sebelum ini kisah dia beristeri tiga. Siti tak kenal sangat Salih sebagai artis. Lagu dia Siti tak pernah dengar, lakonan dia tak pernah tengok dan celoteh dia di radio jauh lagilah. Sebab Siti cepat semak perut mendengar celoteh banyak sangat. Mujurlah Salih kahwin banyak, ada juga yang kenal siapa Salih.

Banyak rakan-rakan Siti yang bukan Melayu anggap kebanyakan orang Melayu macam Salih, memperagakan bini-bini dia kepada umum. Siti kata, itu hanya Salih. Orang Melayu lain ada juga kahwin empat, tapi taklah memperagakan kepada umum. Kahwin adalah hak peribadi, buat apa nak bagi tahu “satu Malaya”? Orang bukan cemburukan Salih tapi mereka mungkin sedikit meluat agaknya.

Siti tak mahu nanti orang akan kata, Melayu hanya hebat bab kahwin sampai empat, berbulan madu pun berempat tapi ekonomi Melayu “hampeh”. Jangan pula orang Melayu dibanggakan kerana ada kalangan Melayu kahwin empat, tapi dalam bab lain hanya hirup kuah basi. Kalau Melayu terleka dengan rahsia “kejayaan” kahwin empat Salih daripada apa yang berlaku dalam negara, mampus kita jadinya.

Kepada Salih, Siti nak minta cukup-cukuplah memperagakan isteri-isteri. Tak usahlah bagitau RM50,000 hanya untuk berbulan madu. Sebabnya jumlah itu bukan besar mana pun, ada orang lain belanja lebih besar tapi kita tak tahu sebab mereka tak heboh perkara-perkara peribadi. Siti tak mahu dengar Melayu disekutukan hanya juara bab kahwin, tapi dalam semua bidang lain Melayu tercorot.

Macam Raja Mswati III di Swaziland yang ada 13 isteri, yang terbaru umur 17 tahun. Walaupun Mswati III hebat bab kahwin, tapi negaranya mundur, miskin dan tidak ada apa yang boleh dibanggakan kecuali rajanya yang menjadi bualan sinis di seluruh dunia.

Jadi, Salih jangan hanya hebat bab kahwin, mesti hebat juga dalam bidang kerjaya supaya orang Melayu boleh tumpang bangga. Orang Melayu tak boleh berbangga kerana Salih kahwin empat. Mereka tidak boleh dilekakan dengan cerita sensasi kahwin empat.

SITI JARUM: Suka lagu Ala Emak Kahwinkan Aku.

No comments:

Post a Comment