Wednesday, February 22, 2012

jangan maki orang dalam fb

Adun dimaki dalam Facebook
Wartawan Sinar Harian
21 Februari 2012
Zainal-Abidin-menunjukkan-gambarnya-disiarkan-dalam-laman-sosial-tersebut-yang-menjadi-sasaran-seora
JEMPOL- Tanpa sebarang sebab, seorang remaja bertindak menghambur kata-kata kesat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad menerusi komen dalam laman sosial, Facebook.

Kata-kata kesat berbaur lucah itu terpapar dalam akaun Facebook sebuah kumpulan warga Felda sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Berikutan itu, Zainal Abidin bercadang untuk membuat laporan polis berhubung tindakan remaja berkenaan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagaimanapun, saya menarik balik hasrat berkenaan selepas remaja terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

“Saya tidak tahu punca remaja berkenaan berbuat demikian tetapi saya percaya ini di­sebabkan sikapnya yang masih muda,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tindakan remaja berkenaan seharusnya menjadi teladan kepada remaja lain supaya berhati-hati dalam memberi sebarang komen kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang serta tidak sihat kepada masyarakat.

“Tidak salah untuk memberi pandangan laman sosial tetapi bukan disalah guna. Kadang-kala orang yang membaca boleh salah tafsir mengenai satu-satu hal yang ditulis dalam laman sosial,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Zainal Abidin turut menasihatkan remaja supaya menjaga perilaku terutama ketika berhadapan dengan orang lebih tua.

“Mereka juga adalah pemimpin masa depan. Jadikan perkara ini sebagai iktibar agar ianya tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati komen dalam laman Facebook berkenaan sudah dibuang dan remaja berkenaan memberitahu akan menemui Zainal Abidin dalam masa terdekat untuk menjernihkan keadaan.

No comments:

Post a Comment