Sunday, February 19, 2012

tutup gerai sebab debu

Gerai Lemang Kijal diselubungi debu

KEMAMAN 18 Feb. - Sebahagian besar daripada 21 pengusaha lemang yang berniaga di deretan Gerai Lemang Kijal, Jalan Bukit Anak Dara di sini menghentikan peniagaan mereka sejak dua minggu lalu.

Ia ekoran mereka tidak lagi tahan untuk berada di kawasan gerai itu yang sentiasa diselubungi debu, berpunca daripada lori-lori yang berulang-alik mengambil tanah di kawasan Bukit Panjang.

Hanya tiga daripada peniaga masih membuka gerai dalam keadaan yang tidak begitu selesa kerana terpaksa terus menghidu habuk dan mereka semakin kehilangan pelanggan.

Salah seorang peniaga, Roslina Mohamad, 36, berkata, masalah debu di laluan berkenaan yang ketara sejak dua minggu lalu turut menjejaskan penglihatan para pemandu kenderaan di laluan itu.

Dia yang sudah berniaga di situ sejak enam tahun lalu memberitahu, keadaan menjadi paling buruk pada waktu tengah hari dan petang dengan persekitaran seakan dilanda jerebu tebal.

Katanya, masalah itu amat memberi kesan kepada kami yang berniaga makanan kerana keadaan gerai sentiasa berdebu dan habuk berterbangan.

"Kami terpaksa menutup hidung sepanjang waktu. Ada kawan-kawan mengalami demam dan batuk.

"Menjual lemang adalah punca pendapatan keluarga sayak. Kami bukan mahu halang kerja-kerja oleh pemaju tetapi harap mereka cari jalan membendung masalah yang kami hadapi," ujarnya ketika ditemui semalam.

No comments:

Post a Comment