Tuesday, February 7, 2012

masalah kucing selesai

Permintaan sukarelawan terjawab, 18 kucing didermakan
RUZY ADILA IDRIS
6 Februari 2012
Gambar kucing
SHAH ALAM – Kisah seorang artis teater, Nicole Ann Thomas, yang bakal berhadapan dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika terus memelihara 30 kucing di rumahnya, mendapat perhatian pihak-pihak yang bersimpati dengan beliau.
Sejak Sinar Harian Online melaporkan kisah Ann Thomas Jumaat lalu, beliau telah menerima lebih 20 panggilan daripada orang ramai yang berminat membantunya mengambil sebahagian daripada 30 kucing terbiar yang diselamatkannya.
“Walaupun hari ini ialah hari Isnin iaitu tempoh terakhir amaran DBKL kepada saya, tetapi saya masih mempunyai masa kerana kebetulan hari ini merupakan cuti umum dan ada beberapa orang akan datang ke rumah saya untuk mengambil kucing-kucing ini.
“Ada yang sudi menumpang kucing-kucing saya sementara di tempat mereka bagi menggelakkan haiwan itu daripada dirampas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Ann Thomas, daripada 30 ekor kucing itu, 12 ekor memang beliau tidak bercadang memberikan kepada sesiapa.
"Dua belas kucing akan ditempatkan di sebuah pusat jagaan kucing di Klang selama tiga bulan tetapi saya akan dikenakan bayaran... tidak mengapalah," katanya yang enggan menyatakan jumlah bakal dikenakan.
Dia sebelum ini memelihara 49 kucing yang terbiar yang ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Menurut Ann Thomas, daripada jumlah itu, 19 ekor beliau sudah serahkan kepada orang.
Isnin lalu, DBKL memberikan tempoh seminggu kepada Ann Thomas untuk ‘mendermakan’ kesemua kucing itu dan jika beliau gagal, pihak berkuasa akan merampas kesemua haiwan kesayangannya itu.
Menurut Ann Thomas, selepas beritanya tersiar, beliau turut menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) sokongan moral daripada orang ramai tentang usaha sukarela yang beliau lakukan.
"Saya tidak sangka ramai orang menyokong usaha saya selama ini.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyiarkan kisah saya," katanya.
Sehubungan itu, beliau mempelawa kepada mereka yang masih berminat membantunya untuk menghubunginya di talian 012-3211174.

No comments:

Post a Comment