Saturday, February 4, 2012

rotan sampai berbirat

Pukul anak hingga berbirat
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Muka dan badannya bukan saja bengkak, tetapi turut dipenuhi kesan berbirat akibat dirotan dengan penyangkut baju oleh bapanya sejak hampir sebulan lalu.

Difahamkan, bapa mangsa yang berusia 36 tahun bertindak kejam merotan dan memukul anak lelakinya itu yang berusia dua tahun kerana tidak tahan dengan tangisan kanak-kanak berkenaan.


Dalam kejadian terbaru jam 5.30 petang di rumah mereka di Kepong, di sini, kelmarin, mangsa sekali lagi ‘dibelasah’ bapanya hanya kerana enggan berhenti menangis.

Malah, ibu mangsa yang berusia 23 tahun dan cuba mempertahankan anaknya itu turut dipukul.


Tidak tahan menyaksikan penderitaan anak lelakinya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini, jam 11.30 malam.


Menurut sumber, dalam kejadian terbaru itu, kanak-kanak terbabit dipercayai menangis disebabkan kesakitan kerana dipukul suspek.

Click Here

“Bapa mangsa yang rimas mendengar tangisan anaknya itu naik berang lalu merotan mangsa menggunakan penyangkut baju,” katanya.


Sumber berkata, ibu mangsa cuba melindungi mangsa.

“Ibu mangsa turut dipukul hingga cedera di bahu kiri,” katanya.


Katanya, suspek meninggalkan rumah berkenaan dan kesempatan itu digunakan ibu mangsa menghubungi rakannya bagi memaklumkan kejadian itu.


“Rakan ibu mangsa datang dan membawa mangsa membuat laporan polis,” katanya.


Katanya, mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan masih ditahan di wad hospital berkenaan.


Sebaik menerima laporan kejadian itu, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan menghubungi bapa mangsa dan memintanya tampil bagi merakamkan percakapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.


Katanya, bapa mangsa memberikan kerjasama. Selepas percakapannya dirakamkan, dia ditahan bagi membantu siasatan.


Berdasarkan percakapan pengadu (isteri) dan keterangan daripada suspek selain laporan perubatan kanak-kanak terbabit, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai dera.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit, namun enggan mengulas lanjut.


Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment