Friday, February 10, 2012

monyet mati terkurung

Monyet mati dalam perangkap
Wartawan Sinar Harian
8 Februari 2012
Fatimah menunjukkan perangkap monyet yang didakwa tiada pemantauan
Kematian monyet berkenaan didakwa akibat tiada pemantauan daripada pihak terbabit setelah beberapa minggu haiwan liar itu terkurung tanpa makanan dan minuman serta kesejukan.
Seorang penduduk, Fatimah Abdullah, berkata, dia sangat kesal terhadap pihak terbabit kerana tidak mengambil tindakan pantas setelah monyet itu ditangkap, malah merasakan haiwan itu dianiaya berminggu lamanya.
Malah menurutnya, penduduk terpaksa menahan bau kurang enak bangkai monyet berkenaan setiap hari sehingga timbul rasa tidak selesa biarpun berada di dalam rumah.
“Saya tidak sanggup untuk terus menahan bau busuk dan kadang kala terpaksa membuang bangkai-bangkai monyet yang telah mati namun tidak larat untuk terus melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawa­tankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Bekoh, Abd Halim Ghani berkata, pemasa­ngan perangkap itu dilakukan pihak Perhilitan setelah menerima beberapa aduan penduduk berikutan ke­munculan sekumpulan monyet di kawasan rumah mereka.
Menurutnya, beliau ada beberapa kali membuat aduan kepada renjer Perhilitan mengenai monyet yang berjaya ditangkap, namun hanya sekali pihak berkenaan datang untuk mengambil­nya.
“Apa yang dikesalkan selepas itu pihak Perhilitan tidak mengambil berat dan memantau perangkap yang dipasang.
“Saya masih tidak tahu prosedur tangkapan pihak berkenaan yang dilihat hanya membiarkan sahaja sangkar tersebut tanpa dipantau, dan tiada umpan dan makanan yang diletakkan di dalam sangkar,” katanya.
Menurutnya, sangkar berke­naan juga hampir terbuka akibat hentakan monyet-monyet yang ingin melepaskan diri sehingga mengundang bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk.
“Yang peliknya saya nampak monyet keluar masuk ke dalam perangkap yang dipasang dan ini menunjukkan ketidakberkesanan perangkap tersebut.
“Sepatutnya pihak Perhilitan mengkaji dan mengubah suai perangkap berkenaan supaya lebih berkesan dan berharap mereka dapat mengambil tindakan segera selain memantau perangkap berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment