Friday, September 9, 2011

9 tahun dibaling mercun


Sengsara rumah dibaling mercun

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


CHAN Chee Woon menunjukkan bumbung rumahnya yang bocor akibat dibaling mercun oleh remaja nakal di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 8 Sept. - Seorang peniaga di pekan Permatang Pauh di sini bimbang dengan tindakan sekumpulan remaja yang melempar batu dan mercun ke rumahnya sejak sembilan tahun lalu.

Menurut Chan Chee Woon, 42, sepanjang tempoh itu lebih 10 laporan polis dibuatnya ekoran tindakan remaja terbabit yang sering mengganggu keluarganya terutama pada awal pagi.

Semuanya bermula apabila kumpulan remaja terbabit berang kerana ditegur oleh abangnya ketika mereka bermain mercun berhampiran rumahnya pada waktu malam dan mengganggu mereka hendak tidur.

"Sejak itu, mereka membaling batu ke arah bumbung rumah saya pada awal pagi di antara pukul 1 hingga 3 pagi sebelum bertindak membaling mercun beberapa tahun lalu.

"Kehidupan kami sekarang tidak tenteram kerana terganggu dengan tindakan mereka itu serta tidak dapat tidur lena setiap malam," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tambah Chee Woon, tindakan remaja itu juga menyebabkan keadaan kesihatan bapanya yang menghidap sakit jantung bertambah buruk.

Selain itu, katanya, abangnya juga menghidap darah tinggi yang serius kerana tidak dapat tidur pada waktu malam ekoran diganggu bunyi bising itu.

"Saya juga sering terjaga pada waktu malam dan tidak mendapat rehat yang secukupnya kerana diganggu bunyi mercun itu yang turut merosakkan bumbung rumah saya.

"Beberapa kali saya cuba laporkan perkara ini kepada pemimpin masyarakat di kawasan ini, namun tiada sebarang tindakan diambil," ujarnya.

Dia juga turut berharap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap kumpulan remaja terbabit.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment