Hanya jumpa rangka bapa
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DUNGUN: Seorang lelaki terkedu apabila menemui rangka dan tengkorak manusia dipercayai milik bapanya yang hilang sejak 38 hari lalu di kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, di sini, semalam.
Mohd Fauzi Aman, 37, berkata dia dan abangnya, Azhar, 39, menemui rangka dan tengkorak berkenaan pada jam 9 pagi selepas memasuki kawasan hutan itu yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Menurutnya, hatinya tiba-tiba terdetik memasuki kawasan hutan berpaya di belakang kediamannya itu biarpun dia sudah beberapa kali memasuki kawasan itu bagi mencari bapa, Aman Mohamad, 68, yang hilang sejak 16 Ogos lalu.
“Pada malam sebelum penemuan itu, saya tidak dapat tidur lena kerana teringatkan bapa dan saya berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk di mana bapa berada.
“Sebaik memasuki kawasan itu, saya dan abang terjumpa rangka tulang dari paras pinggang ke bawah dan ketika itu saya diselubungi perasaan sedih hingga menyebabkan saya terduduk seketika di situ,” katanya.
Menurutnya, tidak puas hati dengan penemuan cebisan tulang itu, dia dan abangnya terus memeriksa kawasan sekitar sebelum menemui tengkorak manusia dan beberapa lagi tulang yang berselerak.
“Saya percaya tulang itu berselerak akibat dimakan dan dilarikan binatang liar,” katanya yang percaya tulang dan tengkorak berkenaan milik bapanya.
Mengimbas kehilangan bapanya, Mohd Fauzi berkata, selepas bersahur pada 16 Ogos lalu, dia dikejutkan isterinya pada jam 7.45 pagi memaklumkan bapanya tiada di dalam bilik sebelum bertindak mencari di sekitar kampung.
“Saya mendapati kunci pintu dapur terbuka dari dalam dan mencari bapa sekitar kampung, namun tidak menemuinya,” katanya.
Menurutnya, beberapa penduduk memberitahu ada menemui seorang lelaki tua berkain pelekat tanpa baju berjalan di sekitar kampung dan daripada gambaran yang diberikan ia bertepatan dengan gaya bapanya.
“Bapa memang tinggal bersama saya dan ada kalanya bersama abang, Azhar membawanya pulang untuk dijaga di rumahnya di Kemaman. Dia sejak akhir-akhir ini kelihatan banyak terlupa, namun berdasarkan ingatannya pada kisah lampau, saya percaya dia masih belum nyanyuk,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, dia sudah puas berusaha mencari bapanya termasuk ke kampung asal bapanya tinggal sebelum ini di Kampung Seberang Pintasan, dekat sini, namun usaha itu menemui jalan buntu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan rangka itu dan berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk mengenal pasti identiti rangka berkenaan.
No comments:
Post a Comment