Friday, September 30, 2011

dua madu mohon cerai

Dua madu sepakat mohon cerai

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Walaupun masing-masing didakwa saling sihir-menyihir antara satu sama lain, dua madu pada hari ini berpakat untuk bercerai secara baik dengan suami mereka setelah mendakwa tidak tahan dengan sikap buruk lelaki tersebut.

Menurut Marziana Zakaria, sikap suaminya yang panas baran dengan memaki-hamun dan memukulnya adalah antara sebab dia mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Isteri kedua itu menambah, selama 10 tahun melayari bahtera rumah tangga dengan Liaquat Ali, dia tetap bersabar dengan sikap buruk suaminya dan mendakwa lelaki itu enggan untuk menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama Islam berdekatan.

"Untuk makluman mahkamah, saya dan madu, Siti Shahina Abdul Rahim, tinggal serumah, pernah antara kami saling melihat dipukul, dimaki dan dimarahi suami.

"Dia sering menghambur perkataan yang kami perempuan pelacur dan lembu," luah Marziana sambil mengesat air matanya di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, Shaiful Azli Jamaludin.

Liaquat kemudian ditanya oleh hakim syarie tersebut berhubung persetujuannya untuk menceraikan kedua-dua isterinya, lelaki itu yang berkopiah putih dan berbaju Melayu biru menjawab: "Saya tidak bersetuju untuk bercerai dengan mereka."

Dia yang berusia dalam lingkungan 40 tahun kemudian mendakwa kononnya kedua-dua isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, selain mendakwa mereka tidak menghormatinya dan melanggar perintah agama.

Liaquat juga mendakwa isteri-isterinya pernah melakukan perbuatan khurafat iaitu saling sihir-menyihir antara satu sama lain.

Shaiful Azli kemudian memutuskan agar setiap seorang daripada pihak terbabit melantik seorang wakil yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat untuk menganggotai Jawatankuasa Pendamai yang diwujudkan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut rumah tangga itu.

Beliau kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua plaintif itu menamakan suami mereka sebagai defendan dan kesemuanya tidak diwakili peguam syarie.

No comments:

Post a Comment