Friday, September 9, 2011

warga asing mudah je dapt permit berniaga

Mudahnya warga asing dapat permit niaga

WARGA PRIHATIN
Puchong, Selangor

PROGRAM 6P iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran merupakan langkah pengampunan berskala besar yang digerakkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengurangkan pendatang tanpa izin di negara ini yang dianggarkan kira-kira 2.3 juta orang.

Angka ini mungkin hanya melibatkan anggaran 30 peratus daripada jumlah sebenar pendatang asing di negara ini. Dahulu mereka datang sebagai pekerja ladang dan buruh kasar. Tetapi sekarang, warga asing ini datang ke Malaysia untuk meraih kekayaan berganda dengan membuka perniagaan. Malaysia menjadi lubuk kekayaan bagi warga asing ini.

Kebanyakan premis perniagaan di Kuala Lumpur seperti di Jalan Masjid India, Chow Kit, Bukit Bintang dan Nilai 3 di Negeri Sembilan dimonopoli peniaga warga asing, sama ada peniaga atau pekerja kedai.

Rata-rata kedai di tempat tersebut dimonopoli warga asing dari Indonesia, Pakistan, India dan China. Mereka berniaga karpet, tudung, kain, keperluan am dan sebagainya.

Begitu juga lot-lot di pasar tani, pasar borong dan pasar malam. Mereka menguasai perniagaan borong dan runcit negara dan hidup senang-lenang dengan kekayaan yang ada. Dari sekecil-kecil perniagaan dan sebesarnya seperti pemborong dikuasai oleh warga asing.

Saya hairan bagaimana mereka dengan mudah mendapat lesen perniagaan dan meraih keuntungan berlipat kali ganda di negara kita tanpa sekatan? Di samping itu, premis terutama di Jalan Masjid India, Chow Kit, Petaling Street dan Nilai dimiliki oleh warga asing ini. Mereka kemudian menyewakan lot-lot kedai kepada orang Malaysia dengan sewa yang amat tinggi.

Saya selalu membeli-belah di Jalan Masjid India. Rata-rata pekerja dan pemilik kedai di sana juga adalah warga asing. Sekarang, pencambahan perniagaan warga asing bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di segenap penjuru negara seperti di Kuching, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Pulau Pinang serta semua bandar besar dan luar bandar di Malaysia.

Implikasi daripada situasi ini berbagai-bagai. Antaranya:

n Wang yang diperolehi oleh warga asing ini dihantar pulang ke luar negara dan menyebabkan pengaliran wang ke luar negara yang besar. Ini akan menjejaskan ekonomi negara.

n Menutup peluang peniaga tempatan disebabkan peniaga asing bijak memainkan harga. Contohnya, peniaga asing sanggup menyeludup barangan jualan dan boleh menjual barang dengan harga yang lebih murah.

n Tempat-tempat perniagaan strategik dimonopoli oleh warga asing dengan mewujudkan koloni perhubungan di mana premis kosong dengan mudah direbut warga asing berdasarkan jaringan koloni ini.

n Peningkatan kadar jenayah dan sosial disebabkan kebanjiran warga ini yang kerap terlepas tindakan polis akibatnya kurangnya pemantauan.

Saya ingin penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Imigresen, Kastam dan pihak berkuasa lain, bagaimana warga asing ini dengan mudah berniaga dan mendapat lesen berniaga di negara kita?

Bagaimana mereka dengan mudah membentuk syarikat 'Sendirian Berhad' dan berniaga tanpa sebarang sekatan juga pemantauan?

Mengenai permit kerja dan visa untuk tinggal di Malaysia, mengapa mereka dengan mudah tinggal di Malaysia sehingga ada yang tinggal melebihi 10 tahun di sini tanpa sebarang masalah? Kenapa tiada serbuan dilakukan oleh pihak Imigresen dan berwajib?

Penguasaan warga asing dalam perniagaan telah menjadi isu hangat yang masih tiada kesudahannya. Terlalu ramai telah bersuara tetapi tiada tindakan konkrit diambil.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment