Remaja merempit dipenjara sehari, denda RM5,000
KOTA BHARU 11 Sept. - Gara-gara 'merempit' dan berlumba motosikal dengan kelajuan yang boleh membahayakan pengguna lain, seorang remaja dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Nik Izdirharuddin Nik Idris, 21, dari Kampung Chica, Jalan Pasir Puteh di sini mengaku bersalah atas dakwaan tersebut di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbaah.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pada 9 Ogos lalu, kira-kira pukul 1 pagi oleh sepasukan polis yang sedang mencegah lumba haram di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Tertuduh dan tiga lagi rakan bercadang membuat lima pusingan mulai pintu keluar lapangan terbang itu sehingga pusingan U di hadapan kem tentera.
Namun apabila tiba pusingan keempat, mereka berhenti di sebuah perhentian bas. Polis telah menahan Nik Izdirharuddin dan seorang lagi rakannya namun dua lagi berjaya meloloskan diri.
Tertuduh yang bekerja sendiri ditahan kira-kira 30 minit selepas pemerhatian dibuat oleh anggota polis apabila mendapati dia menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hitam dengan cara melulu, berbahaya dan menggunakan kelajuan yang tinggi bersama-sama rakannya dalam perlumbaan tersebut.
Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.
No comments:
Post a Comment