Fahamilah, ghairah lelaki tak pernah padam
Lelaki berumur apabila tingkah lakunya suka mengatal akan dikata tua-tua keladi, simpulan bahasa yang maksudnya orang tua berperangai buruk macam orang muda.
Ayat contoh yang selalu digunakan untuk menjelaskan maksud pepatah lama ini ialah 'Dia tua-tua keladi walaupun sudah tua tetapi masih suka mengganggu perempuan'.
Sebab itu, apabila seseorang itu dikaitkan dengan keladi, yang getahnya akan menyebabkan gatal di kulit merujuk kepada tingkah laku lelaki berumur yang masih suka mengurat perempuan.
Sama juga dengan simpulan bahasa tua-tua terung masam yang maksudnya orang berumur tetapi berperangai muda. Contohnya, walaupun sudah beruban tetapi masih suka ke kelab dangdut, tua-tua terung masamlah tu.
Begitulah kreatifnya orang dahulu menyamakan tingkah laku lelaki dengan sifat-sifat tanaman yang ada di sekeliling mereka. Hanya ada satu tua yang dianggap positif iaitu tua-tua kelapa yang maksudnya semakin tua semakin baik perangainya.
Tetapi sebenarnya dari aspek ghairah seorang lelaki, ia memang tak pernah padam - dari remaja sehingga usia tua. Samalah macam adat keladi yang terus gatal, ghairah seorang lelaki juga tak pernah padam berapa pun umurnya.
Inilah yang perlu difahami oleh wanita terutama kepada mereka yang suka menyalahguna pepatah lama tua-tua keladi mahupun tua-tua terung masam ini.
Kenapa ghairah lelaki tak pernah padam? Dalam satu kajian terbaru mendapati, perempuan akan mengalami penurunan tahap hormon estrogen selari dengan pertambahan usia. Sebaliknya, kadar hormon testosteron lelaki tidak mengalami penurunan walaupun usia semakin menua.
pembentukan otot
(Testosteron ialah hormon seks utama lelaki. Ia membantu dalam menghasilkan sperma dan juga merangsangkan perkembangan ciri seks sekunder pada seorang lelaki seperti pembentukan otot yang kasar, misai serta perubahan suara. Estrogen pula adalah sekelompok senyawa steroid yang berfungsi terutama sebagai hormon seks wanita. Walaupun terdapat dalam tubuh lelaki tetapi kandungannya jauh lebih tinggi dalam tubuh wanita usia subur).
Walaupun tahap testosteron tidak mengalami penurunan ketika lelaki bertambah umurnya tetapi ada syaratnya. Lelaki itu mesti berada dalam keadaan sihat walafiat tanpa memgambil sebarang ubat-ubatan.
Maksudnya, kesihatan adalah syarat utama untuk lelaki mengekalkan keghairahannya. Jika kesihatan terganggu, misalnya gejala sakit jantung, hormon seks lelaki ini juga akan menurun.
Begitu juga dengan obesiti boleh menyebabkan penurunan kadar testosteron lelaki. Dalam kata lain, ghairah seks lelaki tak akan menurun kerana usia tetapi ia berlaku akibat gejala penyakit.
Jadi kepada lelaki, yang mahu kekal ghairah perlulah bijak menjaga kesihatannya. Dan, kepada wanita pula seharusnya memahami keperluan dan kehendak lelaki berumur yang sihat ini.
Umur sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk menikmati aktiviti seks yang nyaman dan memuaskan. Semakin bertambah usia, kehidupan seks seseorang sepatutnya bertambah baik dan menyenangkan.
Cubalah ambil sudut positif pepatah tua-tua keladi dan tua-tua terung masam ini. Yakinilah, lelaki yang sentiasa berfikiran muda akan sentiasa berusaha menjaga kesihatannya. Siapakah yang untung jika lelaki sentiasa dalam keadaan sihat walaupun umurnya semakin lanjut?
Malangnya ini yang sering diabaikan oleh kebanyakan wanita. Mereka masih terperangkap dengan mitos semakin berusia semakin mengurangi aktiviti seks. Akhirnya lelaki juga yang disalahkan dan dipandang negatif sebagai tua-tua keladi dan tua-tua terung masam kerana realitinya ghairah lelaki tak pernah menurun.
Jangan rugikan masa tua anda. Mengabaikan seks sama maksudnya mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti malas bersenam, kurang tidur, pemakanan tidak seimbang dan menjalin hubungan terlarang. Jadi, fahamilah wahai kaum wanita.
No comments:
Post a Comment