Friday, September 2, 2011

bala jutawan sekelip mata

Masalah apabila kaya sekelip mata

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Wang pampasan jutaan ringgit yang diterima 15 tahun lalu daripada kerajaan bagi menjayakan projek Koridor Teknologi Negeri Sembilan bernilai RM3 bilion, bagaikan sumpahan buat kira-kira 350 bekas peneroka Felda Lyndon B Johnson (Felda LBJ), Labu, Negeri Sembilan.

Bukan saja wang pampasan antara RM1.3 juta hingga hampir RM2 juta itu habis digunakan hanya dalam masa beberapa tahun, ia turut menjadi punca yang memecah-belahkan keluarga di kawasan itu hingga ada yang ditinggalkan anak tanpa khabar berita sejak masing-masing memperoleh bahagian mereka.


Malah, kunjungan Harian Metro ke kawasan Felda berkenaan baru-baru ini mendapati hanya deretan banglo setingkat yang tersergam di serata Kampung LBJ menjadi kenangan kekayaan yang pernah dimiliki bekas peneroka terbabit walaupun ada antaranya dipotong bekalan air dan elektrik akibat kegagalan menjelaskan bil tertunggak.

Keadaan kebanyakan banglo itu seolah-olah tidak terjaga dek kerana penghuninya terdiri daripada warga emas lanjut usia yang tinggal berseorangan.


Lampu ‘chandelier’ yang bergantungan di beranda bukan saja tidak lagi berfungsi, malah dibiarkan berkarat, ukiran plaster siling yang suatu ketika dulu indah kini usang dan bumbung mula berlubang.


Lebih menyedihkan, sudahlah dipinggirkan anak yang tidak mempedulikan nasib ibu yang tinggal sebatang kara sejurus wang pampasan beralih tangan, ada yang gagal mendapat bantuan daripada JKM atas alasan mereka tinggal di rumah besar.

Ketua Kampung Felda LBJ Labu, Razi Adam, 62, berkata, walaupun ada pegawai JKM datang berkunjung beberapa kali ke kampung itu bagi melihat permohonan bantuan dibuat penduduk, masih ada tidak dibantu memandangkan mereka tinggal di rumah banglo walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai sesen pun.


Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ‘jutawan fakir’ terbabit terpaksa mengharapkan bantuan dan belas ihsan penduduk kampung dan jiran tetangga yang prihatin.

“Barang kemas yang dibelikan suami mereka ketika hidup dulu juga habis dijual untuk menampung belanja seharian kerana walaupun ada anak sehingga tujuh lapan orang, tiada yang sudi menjaga ibu sendiri dan dibiarkan hidup bersendirian,” katanya.


Pada 1996, peneroka terbabit menjadi jutawan segera apabila mereka menerima pampasan jutaan ringgit, hasil jualan tanah untuk projek Koridor Teknologi Negeri Sembilan.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, Datuk Hasim Rusdi berkata, kehidupan penduduk di kampung itu lebih susah selepas menerima pampasan berbanding kehidupan mereka sebelum itu.


Katanya, dulu mereka masih boleh menoreh getah jika tiada wang, kini semuanya sudah tiada kerana pembangunan yang dijalankan dan hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.


“Ini kerana wang pampasan jutaan ringgit yang diperoleh tidak digunakan sepenuhnya sebaliknya ia dihabiskan dalam tempoh yang singkat, hanya 20 peratus yang pandai menguruskan wang.


“Selebihnya, penduduk banyak melabur dalam skim cepat kaya, berjoli sakan dan tidak menyimpan di tempat yang sepatutnya,” katanya. Hasil daripada tindakan itu, mereka kini lebih susah daripada dulu, tidak dipedulikan anak, keluarga berpecah belah dan pelbagai masalah sosial lain,” katanya.


Katanya, ketika penduduk kampung menjadi jutawan segera, beliau adalah Ketua Umno Bahagian Labu dan turut memberi nasihat kepada mereka bagaimana untuk menguruskan wang dengan betul, namun tiada siapa sudi mendengar.


“Saya harap ia akan menjadi pengajaran kepada mereka di luar sana, sentiasa beringat ketika senang dan hargai ibu bapa dan keluarga. Rapuhnya institusi kekeluargaan dan agama menyebabkan berlakunya banyak konflik sesama keluarga disebabkan wang,” katanya.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Kampung LBJ, kerajaan negeri kini menetapkan sebarang pengambilalihan tanah tidak lagi akan dibayar secara tunai, sebaliknya diberi secara pakej.


Katanya, seperti yang berlaku di Felda Sendayan, baru-baru ini, kerajaan negeri memberi pemilik tanah secara pakej, iaitu RM500,000 wang tunai, rumah banglo RM240,000 dan dua ekar tanah pertanian setiap seorang.


“Kaedah baru yang diperkenalkan ini untuk mengelakkan berlakunya pembaziran dan salah guna wang sehingga berlakunya perpecahan dalam keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment