Cicak tokek tak laku
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA TERENGGANU: “Saya keliru, betulkah cicak tokek boleh dijual pada harga mencecah puluhan ribuan ringgit sedangkan cicak milik saya tidak laku meskipun sebelum ini ada pembeli menawarkan harga tinggi untuk haiwan berkenaan yang memiliki berat sekurang-kurangnya 200 gram (g),” kata Afandi Omar, 36.
Afandi yang memelihara cicak berkenaan berkata, dakwaan kononnya cicak itu boleh dijual pada harga tinggi sehingga mencecah RM25,000 hanya indah khabar dari rupa apabila rata-rata pemilik dikenalinya tidak pernah menjual haiwan berkenaan pada harga didakwa itu.
“Lebih setahun saya memelihara cicak tokek yang ditangkap sendiri di Pulau Redang. Bermula sekecil saiz cicak biasa kemudian dipelihara dengan baik kini beratnya melebihi 200g dan panjang 11 inci.
“Malah, tiga cicak tokek yang dipelihara itu ada antaranya sudah bertelur dan matang, tetapi saya kecewa apabila pembeli yang sebelum ini berjanji menawarkan harga RM25,000 untuk cicak tokek seberat 200g tidak berminat membelinya dengan memberikan pelbagai alasan tidak masuk akal.
“Pembeli seolah-olah sengaja mencari alasan untuk tidak membeli cicak tokek. Bagi saya, mereka hanya pandai mereka-reka cerita dan ternyata hebahan dibuat kononnya haiwan berkenaan boleh dijual pada harga lumayan tidak ubah seperti khabar angin bagi mensensasikan cicak tokek,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Hangus, Bukit Besar, semalam.
Tambahnya, rakannya yang berhabis ribuan ringgit memelihara cicak tokek sehingga mencecah berat 400g turut mengalami nasib sama apabila haiwan berkenaan tidak laku untuk dijual dan akhirnya mati.
“Kadangkala permintaan pembeli tidak masuk akal, apa tidaknya sekejap 200g kemudian 300g dan 400g.
“Jika difikirkan dengan logik akal, berat diinginkan itu agak mustahil untuk dicapai, paling berat saya pernah jumpa 400g.
“Berat cicak tokek pula tidak menentu dan mengikut keadaan, malah ia tidak statik dan sukar dikekalkan. Jadi memang sukar untuk meraih keuntungan melalui penjualan cicak tokek kerana ia tidak mudah mencapai berat yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, dia sudah hilang semangat memelihara cicak tokek berikutan tidak memberikan pulangan lumayan seperti diharapkan sebelum ini.
“Cukuplah setakat ini saya menghabiskan masa dan wang memelihara cicak tokek sedangkan ia tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan. Malah, saya merancang melepaskannya semula ke habitat asal di Pulau Redang.
“Berikutan kegilaan orang ramai yang kemaruk memburu cicak tokek sejak akhir-akhir ini, haiwan itu seakan-akan hampir pupus. Saya fikir langkah paling tepat adalah melepaskan semula cicak tokek itu ke habitat asalnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, seramai 70 pemilik cicak tokek di negeri ini sudah membuat pengisytiharan dan permohonan lesen memelihara haiwan perlindungan itu.
“Pemilik cicak tokek atau haiwan perlindungan perlu membuat pengisytiharan kepada Perhilitan secepat mungkin bagi mengelak sebarang masalah dan pihak kita tidak akan teragak-agak ambil tindakan ke atas pemilik gagal berbuat demikian,” katanya.
No comments:
Post a Comment