Sederhana selesai kemelut
TINDAKAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi meneliti apakah benar ada usaha untuk mengkristiankan orang Islam dalam majlis makan malam anjuran sebuah pertubuhan kebajikan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu mengundang pelbagai reaksi: marah, keliru dan paling banyak adalah memuji tindakan itu kerana ia membabitkan akidah umat Islam.
Dari perspektif Islam, sentimen dan dakwaan wujudnya usaha berkenaan pada majlis tersebut masih belum dapat dibuktikan, kerana JAIS masih belum membuat kenyataan. Tapi, dalam sentimen itu nampaknya JAIS sudah menang moral manakala orang ramai semakin melihat gagalnya kepimpinan negeri yang diterajui oleh orang Islam untuk mempertahan dan memperkasakan agama daripada terus diceroboh, diasak dan dipengaruhi oleh bukan Islam.
Berdasarkan undang-undang, meskipun kebebasan beragama menjadi hak setiap orang, kebebasan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mempengaruhi orang Islam agar menukarkan agamanya. Berdakwah atau mempengaruhi orang Islam supaya menukarkan agama adalah satu tindakan salah dan boleh didakwa di mahkamah.
Apa pun peruntukan undang-undang yang ada, penguatkuasaannya adalah satu tindakan wajar dan harus ditentukan melalui pendakwaan. Maka, tindakan JAIS adalah usaha mencari bukti dan bukannya mewujudkan suasana resah, menceroboh rumah-rumah ibadat sebagaimana dilihat para aktivis yang menentang usaha itu.
Setiap rakyat harus faham undang-undang negara yang mana Islam menjadi agama rasmi, iaitu jangan ada sesiapa cuba mempengaruhi rakyatnya yang beragama Islam untuk meninggalkan agamanya sendiri di negara itu. Demikian juga ajaran-ajaran (sesat) lain yang boleh memesongkan agamanya sendiri.
Islam hendaklah difahami secara menyeluruh (syumul) merangkumi seluruh kehidupan dunia dan akhirat. Pengertian Islam berbeza dengan agama-agama lain, tiada pemisahan di antara dunia dan akhirat antara ibadah dan urusan kehidupan sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 200 bermaksud “Wahai tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” Kerana Islam itu adalah agama yang penuh keseimbangan, sesuai dengan kejadian manusia pada setiap masa dan tempat.
Proses yang seharusnya berlaku sebaik-baik sahaja JAIS dapat mengumpulkan bukti adalah memanggil pihak terbabit untuk mengetahui kedudukan sebenar sama ada ia adalah majlis kebajikan atau majlis memujuk. Jika betul-betul ikhlas untuk menyampaikan bantuan, ia boleh dilihat sebagai satu langkah yang terpuji.
Jika sebaliknya, bersama bukti yang ada maka mereka yang hadir itu boleh diberikan nasihat ataupun peluang membuktikan kehadiran itu tidak boleh diistilahkan sebagai percubaan menjadi murtad manakala pihak penganjur perlu dipanggil untuk mengkaji keikhlasan niatnya.
Dalam konteks Islam, memberikan bantuan atau sedekah kepada mereka yang memerlukan adalah satu tindakan yang amat digalakkan. Atas dasar itulah maka satu kaedah mengumpul dan menyalurkan bantuan melalui institusi zakat diwajibkan ke atas semua orang Islam yang mempunyai harta dan kekayaan.
Keindahan Islam turut tercermin melalui kaedah bagi menyelesaikan sesuatu kemelut, sama ada yang bersifat agama ataupun sosio-politik. Setiap orang yang berbeza pandangan perlu dibawa bersama dalam satu perundingan bagi mencapai satu persetujuan dan persefahaman.
Dalam konteks antara agama, kedua-dua pihak yang berhadapan dengan masalah disebabkan oleh garis pemisah yang kurang jelas, maka berunding adalah kaedah terbaik. Dengan cara melemparkan sesuatu tuduhan atau dakwaan, ia akan memberikan kesan buruk.
Perundingan antara Islam dan Kristian sudah bermula sejak kedua-dua agama itu menjadi titik perbezaan sama ada dalam bentuk teologi ataupun tuduhan melampau sehingga memerangkapkan krisis kosmos.
Sejak Islam dizahirkan sebagai agama wahyu terakhir, Nabi Muhammad SAW melaksanakan pendekatan berhemah dengan tidak memaksa pemeluk Kristian, Yahudi dan lain-lain untuk menukarkan agama asal mereka.
Konteks dakwah tersebut adalah selaras dengan firman Allah SWT, “tiada paksaan dalam beragama” tetapi setelah memeluk Islam, menukarkan agama adalah “dilarang” dan tindakan tersebut dipanggil murtad. Orang yang murtad akan disingkirkan dari jemaah dan mendapat kebenaran sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT.
Perseteruan antara Islam dan Kristian telah lama bermula dan akar umbi masalah itu berpunca daripada prasangka buruk mengenai agama terakhir itu. Mereka menyangka, disebabkan kemurnian Islam sentiasa dipertahankan dan sebarang perubahan ke atas kandungan kitab suci al-Quran akan ditentang habis-habisan.
Berbanding Kristian, ajarannya mengalami pelbagai perubahan disebabkan sikap sesetengah pemegang amanahnya. Atas dorongan untuk menguasai dan mendominasi orang lain, maka terjadi banyak percanggahan dalam Bible. Ia menjadi dua versi yang ada ketikanya tidak boleh berkompromi, seringkali bercanggah antara Old Testament dan New Testament.
Dalam beberapa perkara, dalam Islam turut berlaku perbezaan pendapat tetapi ia atas perkara-perkara yang bersifat nisbi dan bukan mengenai bentuk keimanan. Perbezaan itu telah diselaraskan melalui jumhur ulama, penyelarasan fatwa dan mencari kata sepakat antara alim ulama. Inilah kelebihan yang ada pada Islam, yang mungkin tidak dipraktikkan oleh lain-lain agama.
Jika ada pun perbalahan dan pertelingkahan, ia diselesaikan dengan cara baik. Selagi bukan Islam menghormati dan tidak mengkhianati Islam, selagi itulah keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara dapat dipertahankan.
Masyarakat wajib menghormatinya. Setiap masyarakat harus memandangnya sebagai satu bentuk misi kemanusiaan, tetapi jika terbukti ada penyelewengan maksud, maka tindakan JAIS itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang bermaruah. Suatu tindakan yang wajar maka sebelum hasil siasatan itu dirumus dan didedahkan, maka kita tidak sepatutnya melenting keterlaluan. Ia boleh mencemarkan agama Islam itu sendiri.
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment