Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, August 20, 2011
lembik dibelasah
Lembik dalam hutan
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
GOMBAK: Seorang lelaki ditahan hampir lima jam di kawasan hutan menghala Genting Highlands sebelum dibelasah hingga ‘lembik’ oleh lapan lelaki gara-gara dituduh mencuri barang kemas bernilai RM100,000, kelmarin.
Malah, mangsa, Nanthakumaran, 31, turut tidak diberi makan dan minum ketika ditahan selain diseksa, malah mereka juga mengugut akan membunuh anak dan merogol isterinya jika tidak mengaku mencuri barangan milik sepupunya.
Rayuan mangsa yang berulang kali minta dibebas dan menafikan mencuri barangan kemas seperti didakwa lelaki itu tidak dilayan, malah mereka berulang kali memukulnya menggunakan batu-bata dan topi keledar.
Akibat kejadian itu, mangsa menerima beberapa jahitan di kepala, cedera di mata dan seluruh badan dan kini terlantar di Hospital Selayang.
Nanthakumaran berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak menziarahi kakaknya di Bandar Baru Selayang, kira-kira jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian datang lapan lelaki yang mendakwa rakan sepupunya membuat bising dan merosakkan pintu pagar rumah.
“Tidak cukup dengan itu mereka menceroboh masuk dalam rumah dan memukul isteri saya dengan topi keledar berulang kali.
“Selepas itu mereka datang ke arah saya dan memukul dengan batu-bata dan topi keledar di kepala hingga berdarah,” katanya ketika ditemui selepas menjalani pembedahan, semalam.
Beliau berkata, lelaki itu memberitahu diupah sepupunya kerana tidak berpuas hati barang kemasnya dicuri.
“Saya yang tidak tahu-menahu kejadian terbabit menafikan mengambil barang kemas itu menyebabkan mereka bertambah marah dan menarik saya keluar dan membawa ke Genting Highlands sebelum berhenti di dalam hutan.
“Ketika itu mereka memukul saya berulang kali dengan batu-bata dan topi keledar hingga baju saya berlumuran darah,” katanya.
Katanya, dia juga memberitahu jika benar dia mencuri mereka sepatutnya membuat laporan polis, namun kesal apabila tidak dilayan, malah mereka membelasahnya hingga pengsan.
“Saya tersedar apabila isteri dan polis membantu menghantar saya ke Hospital Selayang selepas mereka meninggalkan saya di Balai Polis Bukit Idaman,” katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Janes Linda Muthusamy, berkata ketika mendapat berita suaminya sudah dijumpai, dia bergegas ke balai polis berkenaan dan terkejut apabila melihat keadaan wajah suami yang teruk dan bengkak akibat dihentak dengan topi keledar dan batu-bata.
“Saya tidak mampu berkata-kata apa-apa dan sedih melihat keadaan suami kerana mereka sanggup bertindak kejam membelasahnya tanpa usul periksa.
“Sepatutnya mereka menyerahkan kes ini kepada polis jika benar suami saya mencuri dan bukan bertindak sendiri,” katanya.
Dia membuat laporan di Balai Polis Selayang selepas suaminya dibawa lari kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan beliau berkata suspek adalah saudara mangsa.
Menurutnya, saudara mangsa juga sudah ditahan polis bagi membantu siasatan manakala lelaki yang diupah memukul masih diburu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment