Jangan tergesa-gesa tarik balik duit syiling
RAKYAT
Rawang, Selangor
SELEPAS 20 tahun, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan siri ketiga duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada 1 Januari 2012. Siri ketiga duit syiling tersebut adalah bagi denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Itulah berita yang tersiar di dalam Utusan Malaysia baru-baru ini yang pastinya mengundang pelbagai kesan baik dan buruk terhadap masyarakat negara ini.
Saya sebagai usahawan bumiputera yang berkecimpung di dalam perniagaan mesin layan diri yang menggunakan duit syiling dan banyak lagi peniaga di negara ini pastinya bimbang dengan berita ini.
Mana tidaknya mesin dan teknologi yang digunakan datangnya dari luar negara. Ia pastinya perlu ditukar dengan kos yang tinggi.
Sebelum ini, ketika penggunaan syiling RM1 emas ditarik balik dari pasaran, ketika itu saya terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membeli mesin baru bagi membolehkannya menerima syiling 50 sen, 20 sen dan 10 sen.
Memang diakui sekarang ini terdapat banyak syiling 50 sen palsu di pasaran yang dikenal pasti oleh pihak bank. Tetapi penukaran semua syiling oleh pihak BNM pastinya akan lebih membebankan.
Sepatutnya penguatkuasaan ditingkatkan dan penukaran bukan jalan mudah untuk menangani masalah ini.
Walaupun pihak vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memudahkan penggunaan duit syiling baharu itu tetapi kos penukaran pastinya jauh lebih tinggi.
Sebuah alat pembaca duit syiling sekarang bernilai hampir RM1,000. Bayangkan jika terdapat lebih 100 mesin yang perlu diubah suai.
Tambahan pula teknologi datangnya dari luar negara dan pasti akan mengambil masa lebih lama untuk proses ubah suai.
Bayangkan juga jika syiling ini ditarik balik dan mesin masih belum siap diubah suai, apa akan jadi kepada usahawan ini.
Saya berharap jika kerajaan hendak menarik balik syiling daripada pasaran perlulah pihak kerajaan menimbang secara serius untuk memberikan insentif kepada kami yang terlibat.
Saya ingin mencadangkan jika perlu ditukar juga syiling ini, saiz dan berat syiling berkenaan dikekalkan cuma warna dan corak ditukar dan diletakkan cip bagi mengelakkan pemalsuan.
Adalah diharapkan pihak rakyat didahulukan dan tidak seperti sekarang kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar.
Ingatlah, setiap tindakan yang bakal diambil akan melibatkan ramai pihak dan kos yang perlu ditanggung amat tinggi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment