Kakitangan bank ajak pelanggan bertumbuk?
PELANGGAN KECEWA
Putrajaya
PADA 25 Julai 2011, kira-kira pukul 12.58 tengah hari saya bersama isteri berurusan di sebuah cawangan bank terkemuka di Putrajaya.
Namun, setelah menunggu hampir 30 minit dan masih tidak dilayan, saya menuju ke kaunter untuk bertanya mengapa masa yang diambil terlalu lama untuk melayan pelanggan.
Malangnya, saya bukan sahaja diherdik dan dimarahi malah kakitangan bank terbabit menjerit-jerit agar suaranya dapat didengari oleh pelanggan lain.
Dimanakah etika dan janji bank berkenaan supaya kakitangan sentiasa tersenyum dan melayan pelanggan dengan segera seperti yang terpampang di papan kenyataan bank?
Dan yang lebih mengejutkan adalah setelah selesai berurusan saya bersama isteri telah ditahan oleh kakitangan bank terbabit di luar bank dan beliau sekali lagi telah memarahi, menunjukkan rasa tidak puas hati dan mengajak saya untuk beradu tenaga. Namun saya hanya berlalu begitu sahaja tanpa mengendahkannya.
Kakitangan terbabit juga meludah sambil memaki hamun saya di hadapan isteri. Disebabkan sikap kakitangan terbabit, saya telah membuat aduan melalui halaman web bank tersebut.
Namun, sehingga sekarang masih tiada jawapan yang diterima. Di manakah etika dan piagam pelanggan bank dalam melayani pelanggan?
Adakah tiada latihan khusus yang diberikan kepada kakitangan untuk berurusan dengan pelanggan?
Saya dan isteri amat kecewa sekali kerana kejadian seumpama itu telah berlaku di sebuah bank yang terkemuka di negara ini.
No comments:
Post a Comment