Tempoh reman remaja dakwa diculik disambung
PETALING JAYA 21 Ogos - Remaja perempuan yang dikatakan berpakat dengan teman lelakinya kononnya dia diculik untuk meminta wang tebusan baru-baru ini, disambung reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
Perintah tahanan reman ke atas remaja itu yang berusia 17 tahun dan teman lelakinya, berusia 19 tahun sepatutnya tamat hari ini.
Kedua-dua mereka dibawa keluar dari lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya sebelum tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kira-kira pukul 10.25 pagi ini.
Selepas selesai mendapatkan perintah tahanan reman, kedua-dua remaja itu dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah sambil diiringi dua anggota polis pada pukul 11.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kedua-dua remaja tersebut disambung reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu mengugut untuk mendapatkan wang.
Tembelang remaja itu yang dilaporkan hilang terbongkar selepas ditahan polis bersama teman lelakinya ketika menaiki sebuah kereta di Saujana Puchong pukul 9 pagi Rabu lalu.
Polis percaya remaja itu mengikut teman lelakinya serta berkemungkinan berpakat untuk merancang kononnya dia diculik.
Remaja perempuan itu bersama teman lelakinya yang tidak bekerja dikatakan berpakat meminta RM50,000 sebagai wang tebusan kononnya untuk membebaskan dirinya.
No comments:
Post a Comment