Monday, August 8, 2011

curi letrik


Penduduk kesal dituduh curi arus elektrik

Yew Teong Look (duduk tiga dari kiri) mengumpulkan notis tuntutan TNB yang diterima penduduk semasa sidang akhbar di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Penduduk di sekitar Parlimen Wangsa Maju mengadu menerima notis tuntutan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa mereka telah mencuri arus elektrik.

Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, dalam tahun ini sahaja dia telah menerima 50 aduan mengenai perkara tersebut daripada penduduk, yang menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat seperti yang didakwa oleh TNB.

Katanya, ada di kalangan penduduk yang menerima notis itu merupakan mereka yang tinggal di kondominium dan juga pangsapuri kos rendah yang mustahil untuk mencuri arus elektrik kerana tidak mempunyai akses ke bilik kawalan.

"Saya akan menghubungi TNB dan tegaskan supaya mereka tidak dengan sesuka hati mengeluarkan surat daripada peguam sehingga membuatkan penduduk berasa terganggu dan tertekan.

"Perjumpaan itu akan diaturkan tidak lama lagi bagi membincangkan mengenai perkara tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Danau Kota, Setapak, di sini.

Sementara itu, seorang penduduk di Taman Setapak Indah Jaya, Soo Lai Wong, 42, berkata ibunya yang merupakan pemilik rumah mereka telah menerima tiga surat notis tuntutan yang menuntut mereka membayar kerugian kecurian arus dalam masa 14 hari dari tarikh notis iaitu pada 28 Julai.

Menurutnya, ketiga-tiga notis itu meminta mereka membayar ganti rugi sebanyak RM8,678.07, RM9,086.62 dan RM14,738.25.

"Selama kira-kira sembilan tahun kami tinggal di sini, kami tidak mendapat sebarang masalah begini. Malah ibu saya tidak pernah gagal membayar bil TNB setiap bulan.

"Perkara ini telah membuatkan ibu saya susah hati. Kami tidak akan membayar tuntutan tersebut kerana kalau kami membayar seolah-olah memang kami mencuri arus elektrik sedangkan kami tidak membuatnya," ujarnya.

Dalam pada itu, penduduk di Kampung Lee Kuan Cheng, Jalan Gombak, Lee Chan Leong, 42, berkata, dalam tahun ini TNB ada datang ke rumah mereka untuk menukar meter baru dan selepas penukaran meter itu bil mereka telah meningkat dengan mendadak.

"Sebelum ini, bil kami hanya antara RM100 ke RM200 sahaja setiap bulan. Tetapi selepas meter itu ditukar bil telah naik sehingga menjangkau RM500 ke atas.

"Namun kami tetap membayar bil seperti biasa sehinggalah mendapat notis tuntutan yang mengatakan bahawa kami telah mencuri arus elektrik. Oleh itu, saya telah mengambil keputusan membuat laporan polis mengenai hal ini," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment