Thursday, August 11, 2011

graduan upsi

Malang nasib graduan UPSI

GRADUAN KECEWA
Tajung Malim, Perak

Saya adalah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Perak. Pada 26 hingga 30 Julai 2011, UPSI telah mengadakan Istiadat Konvokesyen ke-13 dan saya adalah salah seorang pelajar yang menerima ijazah pada hari itu.

Malangnya, kegembiraan saya dan kebanyakan rakan lain pada hari itu tidak seberapa kerana UPSI tidak telus dengan kami, ibu bapa kami dan juga masyarakat luar. Sepanjang istiadat berlangsung, kesemua ucapan yang diberikan oleh pihak pengurusan UPSI membayangkan seolah-olah kesemua kami akan keluar dan menjadi guru seperti kebiasaannya.

Hakikatnya, hanya pelajar-pelajar di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sahaja yang akan ditawarkan jawatan guru. Kami yang selebihnya dikategorikan sebagai graduan UPSI Pasaran Terbuka. Dengan lain perkataan, kami tidak akan ditawarkan secara terus menjadi guru tetapi perlu mencari pekerjaan lain di luar sana selain guru.

Rata-rata kami belajar dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasioanl (PTPTN) dan bukannya tajaan KPM. Setelah bertahun-tahun belajar dan ribuan wang dihabiskan untuk belajar di UPSI sebagai bakal guru, kami disuruh mencari pekerjaan lain.

Tambah buruk lagi UPSI sendiri ingin lepas tangan dan menyembunyikan hal ini daripada ibu bapa yang hadir pada istiadat konvokesyen yang lalu. Perbuatan sebegini, sungguh tidak bertanggungjawab. Ternyata UPSI seperti bermain wayang dan membuat kami serta masyarakat percaya bahawa setiap pelajar mereka adalah bakal guru.

Perasmian Muzium Pendidikan Nasional di dalam kampus UPSI baru-baru ini juga adalah helah UPSI untuk membuat masyarakat terus percaya bahawa UPSI masih merupakan tempat latihan bakal guru sedangkan sebenarnya pelajarnya disuruh mencari pekerjaan lain di pasaran terbuka.

Jika dilihat dari sudut utama pameran ketika pelancaran, ia tidak langsung berfokus kepada tokoh-tokoh guru dan pendidik nasional. Perasmian Muzium Pendidikan Nasional UPSI sekadar gimik supaya orang awam menyangka bahawa UPSI masih lagi melatih bakal guru.

Kenyataannya, UPSI gagal membuat sebarang perjanjian muktamad dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menjamin tempat kesemua graduannya sebagai bakal guru. Wajarkah kami yang belajar dengan sukatan pelajaran menjadi seorang bakal guru di UPSI disuruh mencari kerja lain sedangkan wang kami telah habis dibelanjakan untuk UPSI? Masanya sudah tiba untuk masyarakat perlu sedar bahawa UPSI tidak lagi seperti dahulu.

Setidak-tidaknya, kami mengharapkan ada sedikit rasa tanggung-jawab di pihak UPSI khususnya Naib Canselor UPSI, menjelaskan hal ini kepada ibu-bapa kami ketika berucap dalam istiadat konvokesyen yang lalu.

Kecewa rasanya bila beliau juga berucap seolah-olah kami sudah dijamin untuk mendapat jawatan guru. Tidakkah ibu-bapa kami perlu tahu akan hal ini setelah mereka juga membelanjakan banyak wang kepada UPSI? Kebanyakan mereka adalah orang kampung yang masih percaya bahawa bila anak mereka masuk UPSI, pasti akan jadi guru.

Kesal rasanya menjadi graduan UPSI. Lebih baik jika kami belajar di universiti lain yang sememangnya khusus untuk pasaran terbuka dengan peluang mendapat pekerjaan bukan guru yang lebih cerah.

Jika masih berminat untuk jadi guru, graduan universiti lain masih boleh memohon Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) tajaan KPM dengan masa depan lebih terjamin. Takkan UPSI mahu kami graduan UPSI mengikuti kursus DPLI juga semata-mata untuk dapat jawatan guru? Apa faedahnya kami belajar di UPSI jika itu yang perlu kami lakukan nanti?

Apapun, kami sudah tamat belajar di UPSI tanpa sebarang jaminan untuk jadi guru. Nasi sudah jadi bubur. Kami sudah tidak dapat menebus kembali wang dan masa pengajian kami yang telah hilang. Untuk mencari kerja lain dengan hanya kemahiran menjadi guru yang kami ada, bukan satu perkara mudah.

Kepada semua pelajar UPSI amnya dah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI khususnya, harap bangun daripada mimpi anda.

Kepada bakal lepasan sekolah yang berminat untuk jadi guru, ingatlah bahawa UPSI tidak lagi menjanjikan sebarang jawatan guru untuk graduannya seperti dulu. Anda adalah bakal graduan untuk pasaran terbuka. Jangan keliru UPSI dengan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Untuk UPSI pula, gugurkan saja perkataan "Pendidikan" pada namanya supaya masyarakat sedia maklum bahawa graduan UPSI adalah graduan pasaran terbuka seperti lain-lain universiti. Itu lebih bagus daripada terus mengelirukan masyarakat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment