Tidak terima bantuan, adakah institusi zakat dipersalahkan?
Oleh DR. RAM AL JAFFRI SAAD
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia
ISU mengenai masyarakat Islam yang menerima bantuan daripada sebuah gereja baru-baru ini amat menggemparkan negara. Isu ini bukanlah isu baru kerana pada tahun lepas juga ada dilaporkan mengenai perkara yang sama.
Terlalu banyak persoalan dan isu-isu asas yang timbul dalam hal ini. Adakah agensi-agensi seperti institusi zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedar bahawa masih ramai golongan yang perlu dibantu?
Adakah fungsi pemimpin komuniti setempat seperti ketua kampung, ketua komuniti, penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), amil (pegawai) zakat, pegawai JKM gagal berperanan membantu golongan masyarakat yang terpinggir ini?
Bagaimana pula peranan jabatan agama, imam dan ustaz setempat? Adakah masyarakat setempat seperti jiran sebelah rumah atau jiran sekampung tidak mengambil kisah mengenai hal-hal jiran mereka?
Persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan dan perhatian daripada semua pihak. Adalah tidak adil jika masyarakat menyalahkan institusi zakat semata-mata dalam hal ini.
Masyarakat dilihat sering kali menuding jari kepada institusi zakat jika ada kes-kes seperti ini dilaporkan dalam media massa. Seharusnya semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat perlu dipertanggungjawabkan atas perkara ini.
Memang tidak dinafikan bahawa jumlah kutipan zakat di negara kita adalah banyak dan bertambah dari setahun ke setahun.
Secara keseluruhnnya, kutipan zakat di seluruh negara menyaksikan peningkatan sebanyak 61 peratus (%), daripada RM408 juta pada tahun 2003 kepada lebih RM1 bilion pada 2008.
Dari segi agihan pula, sebanyak lebih RM328 juta berjaya diagih-agihkan kepada kumpulan sasaran, iaitu asnaf zakat pada tahun 2003 dan jumlah ini meningkat kepada RM603 juta pada tahun 2008.
Daripada data yang dibentangkan tersebut, dapat dilihat berlakunya jumlah lebihan zakat yang tidak diagihkan. Keadaan ini berlaku hampir di semua negeri. Apakah punca berlakunya perkara ini? Adakah tiada usaha daripada institusi zakat untuk mengagihkan semua wang yang dikutip?
Sebenarnya, banyak perkara yang menyumbang kepada wujudnya lebihan wang zakat. Perkara-perkara ini bukannlah sengaja dilakukan oleh institusi atau pegawai-pegawai zakat.
Seboleh-bolehnya mereka juga ingin memastikan bahawa setiap asnaf yang layak dapat menerima bantuan daripada mereka. Wang yang disumbangkan oleh orang ramai seboleh-bolehnya mahu diserahkan segera kepada asnaf.
Bagaimanapun, masyarakat harus sedar dengan kekangan yang terpaksa dihadapi oleh institusi dan pegawai-pegawai zakat. Kekangan masa dan kekurangan tenaga kerja bukanlah alasan terbaik yang mereka ada, namun dari segi realitinya, begitulah keadaannya.
Ditambah pula dengan masalah 'birokrasi' yang agak merumitkan proses pemberian bantuan. Masalah ini bukan dicipta tetapi terpaksa dilakukan kerana mereka juga perlu memenuhi tuntutan-tuntutan tertentu seperti audit, kawalan dalaman (internal control) dan sebagainya.
Masalah jurang perhubungan antara pejabat zakat dan asnaf turut menyumbang kepada perkara ini. Jurang perhubungan ini telah menimbulkan banyak masalah.
Antaranya ialah pihak pengurusan zakat tidak dapat mengenal pasti asnaf-asnafnya secara tepat terutamanya jumlah fakir miskin di sesuatu kawasan. Seperti yang diakui sendiri oleh pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS), kesukaran berlaku apabila pihak LZS tidak dapat mengenal pasti jumlah keseluruhan fakir miskin kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat lengkap golongan asnaf terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Di Pulau Pinang pula, masalah jurang perhubungan telah menyebabkan berlakunya ketiadaan dan keciciran maklumat asnaf zakat dan ia banyak memberikan masalah kepada pusat urus zakat untuk membuat agihan zakat.
Bagi mengatasi masalah ini, PPZ Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan program kembara asnaf. Tujuannya adalah untuk mengembara di sekitar negeri itu untuk mencari asnaf yang layak menerima bantuan zakat. Sungguh murni usaha ini!
Jika masalah jurang perhubungan ini berlaku, peranan siapakah yang diperlukan bagi mengatasi jurang ini? Pihak manakah yang harus melaporkan maklumat mengenai keluarga yang memerlukan bantuan sama ada kepada institusi zakat atau JKM?
Jawapannya tentulah ketua atau masyakarat setempat. Sebagai ketua kampung misalnya, menjadi satu perkara yang menghairankan jika beliau tidak mengetahui kedudukan ekonomi sesebuah keluarga di kampungnya.
Jika diandaikan ketua kampung tidak mengetahuinya, bagaimana pula dengan jiran-jiran terdekatnya? Inilah masalahnya jika masyarakat tidak hidup dalam suasana semangat kejiranan yang baik.
Perkara mudah yang boleh dilakukan oleh ketua dan masyarakat setempat adalah melaporkan masalah kemiskinan keluarga di dalam kampungnya kepada pihak kerajaan. Kerajaan melalui agensi-agensinya seperti JKM akan mengambil tindakan segera dan mereka juga akan merujuk perkara ini kepada institusi zakat.
Justeru, institusi zakat tidak wajar disalahkan seratus peratus dalam hal ini. Usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Tanpa kerjasama ini, tidak mungkin masalah masyarakat kita yang perlukan bantuan terpaksa hidup melarat mampu diatasi dengan baik.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment