Penantian 9 tahun berakhir
AMPANG 30 Jan. – Penantian selama sembilan tahun oleh 2,000 pembeli pangsapuri Residensi Bistaria di Ukay Bestari, Hulu Klang di sini berakhir apabila mereka menerima kunci rumah dan bakal menduduki rumah masing-masing mulai pertengahan bulan depan.
Rasa gembira dan syukur pembeli itu turut dikongsi dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang hadir menyerahkan kunci rumah pembeli pada satu majlis ringkas, tetapi cukup bermakna baru-baru ini.
Noh berkata, seramai 500 pembeli menerima kunci rumah mereka pada majlis itu, manakala selebihnya akan diserahkan dalam sedikit masa lagi.
Ujarnya, sebanyak enam blok sudah boleh diduduki, manakala tiga blok lagi akan disiapkan pada April ini.
“Projek perumahan ini bukanlah terbengkalai seperti yang disangkakan tetapi difahamkan ia lewat disiapkan. Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjaya menyelesaikan masalah ini.
“Ini adalah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendahulukan rakyat dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Victims (Damai Bistari), Dr. Mohamed Rafick Khan berkata, campur tangan Noh dan seterusnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akhirnya menamatkan penantian dan penderitaan sembilan tahun para pembeli pangsapuri itu.
Menurutnya, sejak 2008 lagi masalah itu sudah dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri Selangor tetapi tiada jalan penyelesaian ditemui.
“Kehadiran Datuk Noh pada Julai 2010 walaupun tidak dirancang akhirnya membawa rahmat dan kelegaan kepada pembeli apabila isu ini dibawa ke perhatian Kerajaan Pusat.
“Kini semuanya sudah selesai. Pembeli akan menerima kunci secara berperingkat dan boleh mula memasuki rumah masing-masing pada minggu kedua Februari,” katanya.
Syukur hasrat diami rumah sendiri tercapai
AMPANG 30 Jan. - Para pembeli pangsapuri Residensi Bistaria, Hulu Klang di sini bersyukur kerana penantian mereka untuk mendiami rumah sendiri akhirnya terlaksana.Seorang pembeli, Norazly Md. Yatim, 35, berkata, dia sangat gembira apabila menerima kunci rumah yang dinanti-nantikan selama ini selepas sekian lama menyewa.
Katanya, selama ini, dia bukan sahaja terpaksa membayar sewa rumah lain tetapi juga ansuran bank untuk pangsapuri tersebut.
"Memang tertekan namun terpaksa diharungi juga dengan doa dan harapan pangsapuri itu akan siap juga. Kini kami sekeluarga sangat lega kerana akhirnya masalah itu selesai setelah sembilan tahun menunggu," katanya.
Seorang lagi pembeli, Yusaini Hamid berkata, sembilan tahun dia sengsara menanggung pelbagai hutang disebabkan kelewatan pemaju menyiapkan projek.
"Alhamdulillah, masalah ini sudah selesai setelah campur tangan dan keprihatinan Datuk Seri Noh Omar," katanya.
Sementara itu, Suzira Ezwani Ismail, 36, pula mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu pembeli yang teraniaya selama ini.
Katanya, semasa membeli rumah tersebut, dia masih bujang dan kini dia sudah mempunyai tiga cahaya mata.
No comments:
Post a Comment