Wanita Indonesia lari dari majikan akhirnya jadi hamba seks warga emas
KOTA BHARU 8 Jan. - Tindakan seorang wanita warga Indonesia melarikan diri daripada majikannya, berakhir dengan dia akhirnya, terpaksa menjadi hamba seks kepada seorang lelaki berusia 61 tahun selama enam bulan lalu di Jalan Kubur Kuda di sini.Mangsa berusia 24 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen sah semasa dia melarikan diri daripada majikannya di Wakaf Baru di sini.
Mangsa cuba menyerah diri di Pejabat Imigresen di Jalan Telipot, malangnya pada hari itu, pejabat tersebut telah tutup kerana tamat waktu bekerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, mangsa kemudian dihampiri oleh suspek yang bekerja sebagai pengutip kotak dan menawarkan perlindungan sebelum dibawa pulang ke rumahnya.
Menurutnya, suspek yang telah beristeri menempatkan mangsa di rumahnya dengan alasan gadis itu merupakan orang susah dan akan membantunya mencari kotak.
"Dalam tempoh itu (enam bulan) mangsa dibawa ke beberapa buah pondok di kawasan Jalan Kubur Kuda pada waktu malam untuk dirogol bagi mengelak dikesan jiran-jiran, pihak berkuasa dan isterinya.
"Mangsa juga sering diugut akan ditangkap pihak berkuasa sehingga gadis itu takut untuk melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan mangsa dirogol sebanyak empat kali seminggu dan adakalanya dirogol dua kali dalam satu malam.
Suspek juga dipercayai mengambil sejenis ubat untuk menguatkan tenaga batin serta meminum minuman keras sebelum melakukan kerja terkutuk itu.
Idris berkata, sehinggalah Rabu lalu, mangsa yang tidak tahan dengan sikap suspek yang gila seks bertindak melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.
Katanya, bertindak atas laporan tersebut, pihaknya telah menahan suspek di salah sebuah pondok yang digunakan untuk merogol mangsa pada hari sama.
"Mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Imigresen," ujarnya sambil memberitahu suspek telah direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
No comments:
Post a Comment