Sunday, January 15, 2012

jambatan pun kena curi

Jambatan tiga tan hilang
Wartawan Sinar Harian
January 15, 2012
jambatan hilang
BANGGOL CHICHA – Penduduk di sini dikejutkan dengan kehilangan jambatan tiga tan, yang menghubungkan Kampung Banggol Kemian dan Banggil Ara, Selasa lalu.

Sikap tidak bertanggungjawab pencuri sehingga sanggup mencuri jambatan yang digunakan 100 petani di kampung ini, menyebabkan mereka terputus hubungan untuk menghantar benih padi.


Jentera jengkaut

Penghulu Mukim banggol Ara, Kamaruzaman Daud, berkata, ada penduduk yang melihat kelibat tiga lelaki, dalam lingkungan umur kurang 40-an, melalui kawasan itu Selasa lalu.

Menurutnya, bunyi jentera berat juga kedengaran dan penduduk tidak mengesyaki sebarang kegiatan jenayah.

“Semua ingat, jenkaut itu digunakan untuk membersihkan Parit Buang ini, ekoran musim tengkujuh ini.

“Namun lain pula yang terjadi apabila, jambatan besi yang berusia 30 tahun ini dicuri dan ia mungkin untuk dijual sebagai besi buruk,” katanya.


Musim menanam padi

Bulan Januari merupakan musim permulaan penanaman padi, namun ketiadaan jambatan ini, amat menyusahkan 100 petani di sini.

Petani, Hanafi Abu Bakar, 66, berkata, jambatan ini digunakan petani di empat kampung iaitu Kampung Banggol Petaling, Kemian, Ara dan Gajah Mati.

Menurutnya, dia tidak dapat meneruskan aktiviti menanam padi kerana jambatan ini adalah satu-satunya laluan menghubungkan kampungnya dengan kawasan bendang.

“Sikap pencuri ini amat teruk, kerana mereka bukan sahaja menyusahkan penduduk, malah menyebabkan saya mungkin hilang punca mata pencarian,” katanya.


Mohon bina jambatan baru

Ketua Unit Peladang Alor Mas, Ahmad Othman berkata, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya, memandangkan jambatan yang dibina 30 tahun lalu tidak pernah hilang atau rosak.

Menurutnya, jambatan besi yang dibina pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) ini, kukuh dan banyak berjasa kepada penduduk dan petani.

“Kita memohon agar pihak Kada sedia membantu kita dalam menyediakan kemudahan jambatan agar petani dapat memulakan aktiviti menanam padi semula.

“Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, kita mencadangkan agar jambatan simen dibina, menggantikan jambatan besi yang dicuri itu,” katanya, semalam.


Jambatan sementara

Pengerusi KRT Banggol Perdana, Noralam Majid berkata, pihaknya turut kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga sanggup mencuri harta benda awam untuk kepentingan diri sendiri.

Menurutnya, semua ahli KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan bergabung tenaga bersama penduduk kampung, untuk membina jambatan sementara minggu hadapan.

“Kita mungkin akan menggunakan buluh, kayu, batang kelapa dan banyak lagi, bagi membuat jambatan sementara ini.

“Ini sekurang-kurangnya akan memberi kemudahan kepada petani mengangkut kelengkapan menanam padi kelak,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya, ia dapat membantu petani sehingga jambatan baru lebih kukuh dapat dibina.

100 petani di sini mengharapkan bantuan pembinaan jambatan simen dapat disalurkan agar petani di empat kampung, dapat menjalankan aktiviti pertanian minggu depan.

No comments:

Post a Comment