Tunjuk kemaluan, warga emas didenda RM500
PETALING JAYA 11 Jan. - Tidak malu mengulangi perbuatannya menunjuk kemaluan kepada seorang pelajar kolej swasta di dalam bas menyebabkan seorang lelaki warga emas didenda RM500 atau penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Rahmat Mohamed Yasin, 61, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut kepada mangsa berusia 19 tahun itu di dalam bas RapidKL yang dalam perjalanan dari bandar Sunway ke Kelana Jaya di sini pada pukul 4.30 petang, 8 Disember lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah di hadapan Majistret Ahamd Solihin Abdul Wahid.
Mengikut fakta kes, semasa mangsa menaiki bas di hadapan pusat beli-belah Sunway Pyramid, dia ternampak seorang lelaki yang sebelum ini pernah menunjukkan kemaluan kepadanya.
Mangsa cuba mencari tempat duduk yang berjauhan dengan tertuduh namun lelaki itu datang kepadanya dan menukar tempat duduk dengan penumpang di sebelah mangsa.
Semasa dalam perjalanan, lelaki itu sekali lagi menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
Tiba di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, mangsa bergegas turun dari bas dan melaporkan kejadian itu kepada polis bantuan di situ.
No comments:
Post a Comment