Merangsang rasa ghairah
SOALAN:
rof yang dihormati,
Saya berumur 27 tahun dan telah tujuh bulan berkahwin namun masih belum bersama dengan suami walaupun sekali. Pelbagai cara dan kaedah moden dan tradisional dari segi pemakanan dan teknik telah saya amalkan namun masih tidak berkesan. Saya telah merujuk kepada pelbagai bahan bacaan untuk membantu tetapi masih begitu. Masalah utama saya ialah tidak merasa ghairah atau terangsang. Tambah menyukarkan, saya rasa pedih dan sakit kerana tiada kebasahan malah lubang juga tidak terbuka sehingga menghalang saya menjalankan tanggungjawab kepada suami.
Pelbagai cerita yang saya dengar daripada rakan seperti dara yang tebal, lubang terlalu kecil dan perasaan takut yang menghalang. Perasaan bersalah terhadap suami sangat menghimpit jiwa saya. Keluarga juga sering bertanya jika ada apa-apa berita baik menyebabkan emosi saya semakin tidak stabil. Saya sangat-sangat berharap agar Prof dapat membantu menyelesaikan masalah saya ini. Apakah kaedah dan teknik terbaik bagi saya untuk mengurangkan rasa sakit dan merangsang hormon seks saya supaya berfungsi? Bantuan Prof sangat-sangat saya perlukan.
Jawapan:
Terima kasih kepada Puan yang telah mengutarakan soalan ini. Permasalahan yang dihadapi adalah berkaitan hubungan seks. Puan mungkin masih lagi dara jika perhubungan ini belum berjaya dilakukan sepenuhnya. Masalah yang Puan hadapi ini dikenal sebagai vaginismus.
Vaginismus adalah keadaan tekanan psikologi yang diekspresi dalam bentuk reaksi fizikal yang sangat kuat. Mungkin agak asing bunyinya, namun ia adalah masalah seks wanita yang telah lama wujud. Ia adalah satu keadaan yang menjejaskan keupayaan seseorang wanita menerima penetrasi melalui faraj termasuk penetrasi seksual, kemasukan tampon dan penetrasi ke faraj untuk tujuan pemeriksaan sakit puan seperti pap smear. Ini berlaku kesan tindak balas otot lantai pelvik seseorang wanita. Tindak balas ini menyebabkan otot bahagian tersebut mengalami kekejangan dan menghalang sebarang penetrasi termasuk kemasukan alat kelamin suami. Pemaksaan hubungan seks ketika itu akan menyebabkan kesakitan ataupun kadang-kala langsung tidak boleh dilakukan. Di negara barat, dua peratus daripada wanitanya mengalami masalah vaginismus dan dalam kalangan negara Islam peratusan tersebut mungkin lebih tinggi memandangkan seks adalah sesuatu yang tabu dan jarang diperbincangkan.
Tertekan
Ramai wanita yang mengalami masalah ini biasanya akan hanya memendam perasaan. Vaginismus boleh menyebabkan wanita berasa tertekan, resah dan rendah diri. Masalah ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan. Biasanya sebagai tindak balas pada perkara yang tidak diingini seperti perasaan sakit atau pengalaman yang menyakitkan semasa menjalani hubungan seks terdahulu.
Masalah vaginismus terbahagi kepada dua iaitu vaginismus primer dan vaginismus sekunder. Vaginismus primer berlaku apabila seseorang wanita itu tidak boleh melakukan sebarang penetrasi seks atau apa juga penetrasi ke dalam vagina. Ia selalunya dialami oleh wanita muda pada awal usia 20-an, yang belum pernah melakukan hubungan seksual.
Vaginismus sekunder pula berlaku kepada wanita yang pernah melakukan hubungan seksl tanpa masalah tetapi kemudiannya mengalami masalah. Mereka selalunya tidak mengetahui keadaan tersebut sehinggalah percubaan untuk penetrasi faraj dilakukan ketika hubungan seks. Keadaan ini selalunya akan diikuti dengan perasaan cemas dan juga takut.
Punca vaginismus berlaku termasuk kepercayaan yang faraj itu kecil dan sempit serta perasaan serba salah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Punca lain, penderaan seksual yang pernah dialami, kecederaan faraj akibat kelahiran sebelum ini, hubungan seksual pertama kali yang begitu menyakitkan, takut hamil, kurang maklumat tentang fungsi seksual dan kepercayaan yang seks itu tidak suci dan hanya menguntungkan lelaki.
Pemeriksaan
Seseorang wanita perlu menerima bahawa penghayatan seksual ialah fitrah semula jadi makhluk Tuhan. Ia bukanlah suatu hukuman atau penyeksaan. Wanita perlu bertanggungjawab kepada kesihatan anggota seksualnya. Ini termasuk penjagaan dan penghayatan kepada anggota tersebut. Justeru, tidak perlu rasa malu atau kekok untuk memeriksa anggota kemaluan sendiri. Antaranya mengenali bahagian anggota tersebut seperti bibir besar (labia majora), bibir kecil (labia minora), klitoris (kelentit) dan pembukaan faraj. Mustahak untuk wanita yang telah baligh mengetahui anggota kemaluannya supaya dapat melakukan amalan sihat semasa membuang air serta memakai tuala pelekat atau tampon ketika haid. Ini dikenali sebagai pemeriksaan kendiri kemaluan wanita. Bagi wanita yang telah melakukan hubungan seksual, perlu amalkan pemeriksaan kendiri ini sekurang-kurangnya sebulan sekali dan apabila merasa kurang selesa pada bahagian itu. Tidak salah menyentuh bahagian yang mudah terangsang untuk mengenali keadaannya, setakat untuk mengetahui dan bukan untuk merangsangkan anggota secara sendiri atau beronani.
Ini akan membantu pasangan melakukan rangsangan kepada bahagian tersebut supaya memudahkan mereka menghayati orgasma. Semasa melakukan pemeriksaan kendiri dan mendapati ada perubahan yang dikhuatiri seperti kemelecetan, ruam, pengeluaran cecair atau keradangan pembukaan faraj yang menyebabkan perit semasa atau selepas bersetubuh - jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bahagian kemaluan dan pelvik. Jangkitan sistem reproduksi wanita boleh berlaku bila-bila masa dan memberi tekanan kepada hubungan seksual dan mengakibatkan kesakitan semasa hubungan seks (dispareunia).
Hubungan seksual yang membina dan merangsangkan memberi nikmat hidup yang sejahtera. Jadi jangan biarkan masalah ini berlaku. Dapatkan bimbingan dan penyelesaian bersama pasangan melalui rawatan dan kaunseling dengan doktor atau pembimbing yang arif dalam hal seksualiti wanita seperti pakar terapi seksual, sakit puan dan pakar kaunseling.
Rawatan
Rawatan fizikal yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah vaginismus adalah dengan belajar teknik untuk menenangkan otot dan mengelakkan kejang. Ia termasuk mengembangkan faraj dengan cara memasukkan rod plastik kecil ke dalamnya. Senaman kegel juga boleh membantu menguatkan otot pelvik sekitar faraj. Ia akan membantu wanita mengawal otot yang berkontraksi secara paksa hingga mengejang.
Bagaimanapun wanita yang mengalami vaginismus masih boleh melakukan aktiviti seksual yang tidak melibatkan penetrasi vagina seperti kucupan, belaian mahupun oral seks. Anggapan bahawa wanita yang mengalami vaginismus langsung tidak mahu melakukan seks, tidak benar.
Teknik mengatasi vaginismus sendiri
Rileks. Ini hal terpenting yang dapat Puan lakukan. Mandilah, berlatih teknik pernafasan dan dengar muzik yang dapat membuat anda merasa rileks.
Fahami kelakuan tubuh badan dengan lebih baik. Latihlah otot faraj anda. Ini akan membantu mengawal respons anda. Pusatkan waktu untuk menikmati sensasi menyenangkan daripada sentuhan dan pastikan anda benar-benar terangsang sebelum mencuba untuk menerima penetrasi.
(Teknik seterusnya mungkin kurang disenangi oleh beberapa pihak). Ketika santai, cubalah melakukan sendiri penetrasi pada faraj anda. Mulainya dengan sesuatu seperti putik kapas atau hujung jari anda sendiri. Setelah kepercayaan diri makin tinggi, cuba satu jari penuh dan kemudian suruh pasangan anda memasukkan jarinya ke dalam faraj anda.
(Ingat! Kaedah ini mungkin pilihan terakhir). Gunakan prostesis berbentuk penis pelbagai ukuran dan gel pelincir untuk membantu ketika ia dimasukkan ke dalam faraj. Cuba ketika bersendirian bagi membangkitkan kepercayaan dan kemampuan anda.
Jika anda telah disahkan mempunyai fibroid,cyst dan dinasihatkan membuat pembedahan..makanlah SALAMON selama 1-2 minggu. Selepas itu buatlah pemeriksaan semula di klinik.
ReplyDelete