Rebut peluang kerja
January 17, 2012
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kegagalan komuniti setempat memenuhi sektor pekerjaan itu dilihat sebagai satu kerugian dan bakal mengundang kehadiran pekerja asing yang akhirnya sedikit sebanyak menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk.
“Kuala Nerus bakal menjadi sebuah daerah, oleh itu pastinya banyak pembangunan akan dilakukan untuk memberi kemudahan kepada rakyat, termasuklah sebuah pusat membeli-belah empat tingkat di kawasan Banggol Air Lilih.
“Di sebalik kemajuan ini, sudah tentu ia memerlukan pekerja yang ramai dan inilah sebenarnya peluang terbaik kepada penduduk. Paling penting, komuniti tempatan perlu merebut peluang pekerjaan ini sebaik mungkin sebelum kehadiran pekerja-pekerja asing,” katanya.
Menurutnya, sebagaimana berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur, golongan ini (pekerja asing) bukan hanya mengundang berlakunya kes jenayah, tetapi juga ada wanita tempatan turut terpikat dengan mereka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Komuniti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bersama ExxonMobil di balairaya Kampung Teluk Ketapang, di sini, kelmarin
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi turut melahirkan kebimbangan melihat gelagat remaja yang berbasikal fixie berpasangan sehingga lewat malam.
“Kita akui basikal fixie kini menjadi satu trend remaja hari ini, namun ibu bapa harus lebih peka dan memantau anak-anak mereka terutamanya perempuan kerana sering kali dilihat remaja lelaki serta perempuan menaiki basikal berpasangan, sedangkan ketika itu sudah jam 2 atau 3 pagi.
“Ibu bapa perlu kembali mengamalkan amalan orang terdahulu yang pastinya akan keluar mencari anak-anak mereka jika belum pulang ke rumah pada waktu Maghrib dan turut memberikan ‘habuan’ setimpal sebagai pengajaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment