Sunday, January 8, 2012

suami isteri boleh bercumbuan di tempat awam?

Tiada enakmen dakwa suami isteri bercumbuan
Wartawan Sinar Harian
January 8, 2012
Ahmad-Farid-dan-Salasiah-bahagia-bersama-anak-mereka-Amiq-Badiuzzaman-berusia-satu-tahun
KUALA ROMPIN – Tiada Enakmen atau undang-undang yang boleh disabitkan kesalahan syariah kepada mana-mana pasangan suami isteri yang didapati berpelukan atau bercumbuan di tempat awam di negeri ini.

Ketua Unit Istimbat Jabatan Mufti Negeri Pahang, Azlan Abd Rahman berkata, hubungan antara suami dan isteri adalah halal di sisi Islam dan mereka tidak boleh ditangkap atau dikenakan tindakan atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) boleh memberi nasihat atau kaunseling kepada pasangan yang melakukan perkara itu supaya berkelakuan baik dan tidak menimbulkan rasa curiga.

“Pasangan suami isteri perlu jaga adab di depan khalayak kerana perbuatan mereka hanya menimbulkan rasa curiga kepada orang lain yang tidak mengetahui status mereka sudah berkahwin,” katanya.

Azlan berkata, pasangan Islam seharusnya menjaga ‘Muslihah Ammah’ iaitu kepentingan umum ketika berada di luar rumah serta mengetahui adab-adab semasa berada di persekitaran ­khalayak yang ramai.

“Pasangan yang ber­kahwin perlu jaga tingkah laku mereka dan jangan sampai mereka difitnah atas ­perlakuan mereka yang tidak sedap dipandang dengan mata kasar,” katanya.

Bagi pasangan Ahmad Farid Ghazali, 27, dan isterinya, Salasiah Kusni, 27, individu Islam seharusnya menjaga tingkah laku mereka di depan khalayak kerana ia boleh menimbulkan persepsi atau tanggapan tidak baik kepada pasangan sama ada bujang atau sudah berkahwin.

Ahmad Farid berkata, adalah tidak wajar mereka yang berkahwin bercumbuan di khalayak sedangkan perlakuan itu boleh dilakukan di dalam rumah antara suami dan isteri sahaja.

Menurutnya, perbuatan bercumbuan itu disifatkan tidak kena pada tempatnya, malah menyifatkan individu terlibat sebagai cetek ilmu keagamaan hingga boleh menimbulkan fitnah masyarakat.

Isterinya, Salasiah berkata, pasangan yang belum bernikah dan melakukan perbuatan maksiat dinasihatkan supaya cepat berkahwin serta menghindarkan perbuatan itu kerana ia jelas ditegah dalam ajaran Islam.

“Mereka yang tidak boleh kawal nafsu eloklah bernikah kerana ia dituntut Islam bagi mengelakkan perlakuan sumbang mahram yang boleh mengakibatkan keruntuhan institusi sosial,” katanya.

Zaibab Su, 58, berkata, pasangan suami isteri tidak perlu menunjukkan perlakuan tidak manis di depan orang ramai walaupun mereka sudah mempunyai ikatan yang sah.

Zainab berkata, bercumbu atau berpelukan itu mungkin diterima di negara Barat, namun tidak di negara ini yang sememangnya terkenal dengan adab dan budaya timur.

“Dalam Islam, perkara ini ditegah dan begitu juga dalam budaya masyarakat Melayu yang menganggap perkara ini kurang sopan dan kurang ajar lebih-lebih lagi jika mereka itu belum berkahwin,” katanya.

Suaminya, Othman Seman, 62, berkata, pasangan Islam seharusnya diberi penekanan berhubung perkara ini kerana bimbang ada segelintir daripada mereka tidak tahu perlakuan itu boleh menimbulkan syak wasangka.

“Pasangan yang belum berkahwin perlu diberi tahu akan hal ini kerana perbuatan berpelukan dan bercumbuan di khalayak akan boleh menimbulkan rasa kurang senang masyarakat sekeliling,” katanya.

No comments:

Post a Comment