Pesta mendulang emas
January 10, 2012
Tinjauan Sinar Harian semalam, mendapati lebih 50 individu pelbagai peringkat umur tekun mendulang apabila kawasan di situ dimaklumkan mengandungi bahan berharga berkenaan.
Kehadiran butir-butir yang dikatakan emas itu disedari sejak seminggu lalu selepas salah seorang penduduk di situ mendakwa menemui ketulan batu yang mengandungi hablur emas.
Ketulan batu di kawasan berkenaan sebenarnya dilonggokkan di situ dari tiga lori bagi projek membina sistem saliran yang terletak kurang tiga meter dari situ.
Keghairahan penduduk di situ semakin luar biasa apabila batu yang bersinar keemasan dan lebih berat daripada batu biasa itu dikatakan emas yang belum diproses dan telah disahkan oleh beberapa pemilik kedai emas.
Berita mengenai lubuk emas itu menarik individu dari luar kawasan terbabit yang tidak melepaskan peluang sanggup datang dari Pontian dan Mersing.
Penduduk yang ditemui, Maimun Mohd Warti, 43, berkata, dia mengetahui mengenainya melalui seorang penduduk yang menyedari longgokan tanah di hadapan rumahnya itu berkilauan seperti emas.
"Saya bertanya kepadanya mencari apa, dia cakap, batu aquarium, namun keadaan semakin pelik apabila semakin ramai orang yang datang ke kawasan itu dan akhirnya baru saya dimaklumkan longgokan batu itu mengandungi emas.
“Pada mulanya memang seakan tidak percaya tetapi apabila diteliti batu tersebut berkilau dan berwarna keemasan.
“Ada individu yang telah bertanya ke kedai emas mengenai kesahihan batu tersebut dan disahkan ia emas yang masih muda.
“Sejak itu orang ramai mula berkampung di sini dari jam 8 pagi hingga awal pagi, semata-mata untuk mencari emas,” katanya.
Manakala bagi seorang penjawat awam, Shahrizal Mohd, 30, beliau menghabiskan masa hampir 12 jam sehari bagi mencari emas di situ dan kini menyimpan hampir setengah kilogram batu yang dipercayai emas.
“Saya tidak peduli apa tanggapan orang ramai dan saya percaya ini bukan kerja sia-sia, jika ia benar-benar emas, alangkah bertuahnya.
“Saya telah menelefon tukang lebur emas dari Pulau Pinang dan dijangka akan sampai ke sini dua, tiga hari ini, dan saya hanya akan berhenti mencari emas ini apabila disahkan batu yang kami temui ini bukan emas sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang datang dari luar kampung itu, Fadilah Sabtu, 25, berkata, beliau mula berkampung di situ sejak dua hari lalu.
“Saya dimaklumkan mengenai ketulan emas ini dari seorang rakan, sejak itu saya teruja untuk mencari emas yang dimaksudkan.
“Saya akan terus mencari selagi ada,” katanya.
Sinar Harian difahamkan kehadiran orang ramai akan bertambah menjelang petang hingga lewat malam apabila malam proses mencari batu berkilau itu lebih mudah.
No comments:
Post a Comment