Kak Limah: Proses rawat bermula
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 31, 2011
SHAH ALAM - Proses merawat ahli keluarga Mazlan Ali yang diganggu lembaga wanita yang menyerupai Kak Limah di Marang Terengganu, oleh Pusat Rawatan Syifa Al-Ikhlas, akan dijalankan hari ini.
Pengamal Rawatan Alternatif, Norhasrul Mohd Hasan berkata, beliau juga akan berusaha untuk mengusir keluar lembaga misteri tersebut dari terus mengganggu keluarga Mazlan.
Menurutnya, beliau terpaksa melakukan rawatan tersebut bersendirian kerana rakannya dari Pusat Rawatan Syifa Al-Ikhlas tidak dapat hadir atas masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.
“Walau bagaimanapun, saya akan berusaha untuk merawat keluarga ini serta mengelakkan rumah mereka daripada terus diganggu makhluk berkenaan.
“Saya dijangka tiba ke rumah tersebut pada 4 petang esok (hari ini), kita lihat terlebih dahulu rumah sebelum memulakan proses rawatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ketika ditanya sama ada masalah gangguan makhluk halus ini boleh diatasi, Norhasrul berkata, semua masalah ada kaedah penyelesaiannya.
“Saya sendiri dapat rasakan kehadiran lembaga tersebut ketika bertanyakan perkembangan gangguan yang mereka alami menerusi panggilan telefon dari Hulu Selangor.
“Namun, yang penting kita perlu bertawakal kepada ALLAH SWT dan terus berusaha melawan gangguan lembaga misteri itu,” katanya.
Beliau berkata, dalam proses rawatan ini pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran, sebaliknya terpulang kepada pesakit untuk memberi sumbangan atau derma ikhlas.
Menurutnya, beliau mempunyai pengalaman luas dalam dunia rawatan alternatif dan sering menerima panggilan dan jemputan untuk merawat pesakit di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment