"Bisikan panggil adik keluar"
January 22, 2012
Kakak, Hasmah Nuh, 54, berkata, adiknya, Rohani Nuh, 53, sering keluar rumah kerana dikatakan dipanggil oleh suara yang berbisik.
Menurutnya, apabila ditanya, Rohani tidak dapat menggambarkan bisikan yang menyuruhnya membuat semua perkara tersebut.
“Ia berlaku terutama sejurus selepas waktu mandi dan dia akan berlari keluar rumah, tanpa seurat benang.
“Kami mencuba pelbagai cara bagi mengubatinya dan berharap kunjungan kami di Pusat Rawatan Darussyifa’ di Madrasah Taman Mekasar, akan membuahkan hasil,” katanya, semalam.
Sementara itu, pengerusi Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya berkata, berdasarkan kes yang berlaku kepada Rohani, bisikan yang didengar merupakan salah satu penyakit yang banyak berlaku kepada pesakitnya di sini.
“Antara penyakit yang sering dilaporkan adalah, sikap membenci antara suami isteri, tertahan nafsu seks, berkudis seluruh badan, tidak ditemukan jodoh dan banyak lagi.
“Bukan hanya penyakit gangguan halus, malah kita turut menawarkan rawatan penyakit fizikal seperti barah, kencing manis, darah tinggi dan banyak lagi,” katanya.
Menurutnya, Darussyifa’ yang terletak berdekatan Masjid Mekasar, baru sahaja dirasmikan hari ini (semalam) dan ia mencakupi pusat rawatan ke enam di seluruh Kelantan.
Selain daripada itu katanya, pusat pentadbiran Darussyifa’ juga boleh didapati di Masjid Lundang, Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Bachok, Besut dan Kuala Krai.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka satu lagi pusat rawatan Darussyifa’ baru, bertempat di Machang, tidak lama lagi.
Menurutnya, berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh bomoh dan pawang, rawatan Darussyifa’ menggunakan ayat-ayat al-Quran, solat hajat, bacaan Yasin dan zikir.
Justeru itu, konsep menghalau jin dan syaitan sepertimana yang dilakukan pihak lain, tidak digunakan di Pusat Rawatan Darussyifa’.
“Doa merupakan satu pendekatan paling mujarab, maka semua yang mempunyai masalah, jangan sekali-kali lupa untuk solat dan memohon petunjuk daripada yang maha esa,” katanya.
No comments:
Post a Comment